Dua wanita halang tugas polis ditahan
SUBANG JAYA - Tindakan dua wanita mengganggu tugas polis dengan tidak memberikan kerjasama selain membuat rakaman video ketika ditahan di tepi Jalan SS15/4G di sini membawa padah apabila diberkas pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 11.10 malam apabila anggota polis dari Bahagian Task Force Balai Subang Jaya sedang menjalankan tugas ronda cegah jenayah di lokasi terbabit.
"Anggota polis bertugas kemudiannya mendapati sebuah kereta jenis Perodua Myvi dinaiki kedua-dua suspek dalam keadaan mencurigakan sebelum bertindak menahan kenderaan terbabit.
"Anggota polis memperkenalkan diri dengan menunjukkan kad kuasa dan meminta kad pengenalan untuk tujuan pemeriksaan," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.
Katanya, bagaimanapun dua suspek yang masing-masing merupakan eksekutif pemasaran dan pengurus syarikat itu enggan memberi kerjasama kepada anggota polis bertugas.
"Salah seorang suspek bertindak mengeluarkan telefon bimbit dan merakam video selain mempertikaikan tugas yang dijalankan anggota polis terbabit.
"Kedua-dua suspek yang masing-masing berumur 29 dan 37 tahun itu kemudiannya ditahan untuk siasatan lanjut berhubung kejadian," katanya.
Menurutnya, kedua-dua suspek direman dua hari untuk siasatan.
"Bagaimanapun dua suspek itu kemudiannya telah dibebaskan dengan jaminan polis dan kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya Selangor untuk arahan lanjut.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan," katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!