Stok bekalan makanan Selangor dijangka cukup tiga bulan - MB

Amirudin (dua dari kanan) bersama Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (kanan) membuat lawatan ke tapak jualan ketika hadir pada Program Jualan Termurah Madani 'Barangan Basah dan Kering' di Perkarangan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Tanjong Karang.Foto Bernama
Amirudin (dua dari kanan) bersama Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (kanan) membuat lawatan ke tapak jualan ketika hadir pada Program Jualan Termurah Madani 'Barangan Basah dan Kering' di Perkarangan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Tanjong Karang.Foto Bernama
A
A
A

TANJONG KARANG - Stok bekalan makanan di Selangor dijangka mencukupi sekurang-kurangnya dalam tempoh tiga bulan sekiranya berlaku sebarang bencana termasuk kemarau.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, stor bekalan makanan yang ketika ini sedang dibina di utara Selangor itu dijangka akan menjadi tempat simpanan makanan berunsurkan karbohidrat iaitu beras dan protein sama ada ikan, daging atau ayam.

"Insya-ALLAH kalau projek ini lengkap, Selangor akan mempunyai keterjaminan makanan sehingga tiga bulan. Maknanya, kalau adanya peperangan sekitar (antarabangsa) dan beras tidak dapat diimport dan sebagainya, kita masih ada bekalan makanan.

"Jadi, Selangor akan menjadi satu-satunya negeri di Malaysia yang akan mempunyai daya tahan kerjaminan makanan selama tiga bulan tanpa ganggu-gugat daripada mana-mana pihak," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Ekspo Jualan Termurah Madani di sini pada Ahad.

Beliau berkata, kadar keterjaminan bekalan bagi tempoh tiga bulan tersebut sangat relevan memandangkan Selangor mempunyai kira-kira tujuh juta rakyat.

Dalam perkembangan lain, Amirudin berkata, kerajaan negeri berhasrat menggabungkan Jualan Ehsan Rakyat (JER) iaitu inisiatif meringankan beban dilaksanakan kerajaan negeri dengan Jualan Termurah Madani.

Hal itu katanya, bagi membolehkan rakyat berbelanja dengan lebih murah seperti dilakukan menerusi Jualan Ehsan Rahmah hasil kerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

"Kita sasar paling tidak, satu (kawasan) Parlimen satu kali dapat dibuat dalam tahun ini dengan melihat kepada kekuatan dan kemampuan kita.

Artikel Berkaitan:

"Saya akan mempertemukan Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) dan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dalam mencari pendekatan lebih baik dan tidak menelan subsidi besar dalam masa sama memastikan barangan sampai kepada rakyat dengan harga murah," katanya. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!