Pelajar OKU tidak lepas peluang jadi barista
KUALA SELANGOR - Lima pelajar orang kurang upaya (OKU) tidak melepaskan peluang mempamerkan kemahiran dalam penyediaan kopi secara profesional atau 'barista' pada Program Madani Rakyat Zon Tengah di Kompleks Sukan Kuala Selangor di sini.
Menyifatkannya sebagai cabaran untuk mereka berhadapan dengan orang ramai, pelajar Kolej Komuniti Selayang yang kurang upaya pendengaran serta mempunyai masalah pembelajaran seperti disleksia dan beberapa kategori lain itu, bersyukur kerana diberikan peluang untuk mengadakan jualan di reruai Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Mohd Hafizi Mohd Hanafi, 19, yang mengalami disleksia berkata, beliau sangat meminati bidang barista terutama seni lukis pada air minuman kopi.
"Tidak dinafikan pada mulanya untuk melukis di atas secawan kopi memerlukan kesabaran dan kemahiran yang tinggi namun disebabkan mempunyai cita-cita untuk membuka sebuah kafe menjadi semangat serta pendorong untuk saya terus belajar.
"Tambahan lagi, apabila berada dalam program ini yang sentiasa mendapat kunjungan orang ramai dapat melatih diri saya berhadapan dengan masyarakat dan membuktikan orang disleksia mampu untuk bekerja juga” katanya kepada Bernama di sini pada Ahad.
Rakannya, Danisya Balqis Daniel, 20, berkata, beliau dapat mempelajari banyak ilmu dan kemahiran kerana setiap kali pengunjung membeli kopi beliau sentiasa menyemak semula pesanan mereka agar tidak tersilap.
"Ini merupakan satu cabaran buat saya, tapi ia tetap menyeronokkan kerana boleh dekati masyarakat sambil belajar buat kopi di hadapan orang ramai saya juga belajar berkomunikasi secara terus dengan pelanggan,” katanya.
Hazriq Dinie Zafran Harold Heziril, 18, pula berkata, menjadi seorang barista tidak begitu diminati kerana memfokus bidang masakan namun, beliau ingin mencuba sesuatu yang baharu tambahan lagi program ini merupakan gabungan antara negeri Selangor dan Perak.
"Seronok jumpa orang ramai... peluang membuat kopi di hadapan orang ramai juga menyeronokkan,” katanya.
Pengunjung boleh ke reruai KPT sekiranya mahu mendapatkan maklumat lanjut berhubung Kolej Komuniti Selayang yang menawarkan Sijil Asas Kulinari (OKU), Sijil Pastri, Sijil Operasi Perhotelan, Sijil Fesyen dan Pakaian serta Diploma In Games Art (WBL).
Program tiga hari sejak Jumaat bermula 9 pagi hingga 10 malam itu memberikan tumpuan kepada aktiviti berkaitan pertanian dan keterjaminan makanan, Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) serta kesejahteraan rakyat, selain pelbagai perkhidmatan disediakan agensi kerajaan Persekutuan dan kerajaan Selangor. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!