NGO masih tidak bersetuju majukan KSAS

Hafizudin bersama wakil NGO menunjukkan peta kawasan di negeri ini yang didakwa akan mengalami kerosakan jika pembangunan KSAS diteruskan.
Hafizudin bersama wakil NGO menunjukkan peta kawasan di negeri ini yang didakwa akan mengalami kerosakan jika pembangunan KSAS diteruskan.
A
A
A

KOTA BHARU - Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini masih tidak bersetuju untuk kerajaan memajukan Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) selepas sesi Pendengaran Bagi Cadangan Pengubahan Rancangan Pemajuan Di Negeri Kelantan (Rancangan Struktur Negeri, Rancangan Tempatan Dan Rancangan Kawasan Khas.

Kesemua NGO terbabit mendakwa, tindakan itu boleh mengakibatkan kerosakan alam sekitar, konflik antara manusia dan haiwan serta bencana alam seperti banjir.

Pegawai Lapangan Sahabat Alam Malaysia (SAM), Meor Razak Meor Abd Rahman, mendakwa selepas mendengar perincian dalam sesi pendengaran itu, mereka tidak berpuas hati kerana tindakan itu bercanggah dengan rancangan kemajuan di peringkat nasional.

Meor Razak
Meor Razak

"Keputusan untuk memajukan KSAS dilihat tidak membantu Kerajaan Persekutuan yang selama ini mahu semua negeri melindungi kawasan sedia ada seperti dalam Seksyen 6B(5) Akta Perancangan Bandar Dan Desa 1976 (Akta 172)," katanya ketika ditemui selepas sesi pendengaran itu pada Ahad.

Meor Razak turut mendakwa, mengganggu kawasan yang dilindungi boleh merosakkan alam sekitar termasuk hutan paya laut, hutan pendidikan dan taman negeri.

Sesi Pendengaran Bagi Cadangan Pengubahan Rancangan Pemajuan Di Negeri Kelantan (Rancangan Struktur Negeri, Rancangan Tempatan Dan Rancangan Kawasan Khas diadakan di Bilik Gerakan Negeri Kompleks Kota Darulnaim.

Sementara itu, Persatuan Pencinta Alam Malaysia juga berpendapat sama selain memberi kesan kepada biodiversiti.

Artikel Berkaitan:

Pegawai Konservasi NGO itu, Ng Sean Fong mendakwa akan membahayakan spesis haiwan di hutan negara ini kerana kebanyakannya tinggal di kawasan rendah.

Ng Sean Fong
Ng Sean Fong

"Sehingga kini isu berkaitan gajah, harimau dan binatang liar lain masih tidak selesai malah berlaku konflik antara manusia," katanya.

Sean Fong memaklumkan menghantar laporan bantahan terhadap cadangan KSAS sebanyak 18 muka surat pada November tahun lepas.

Persatuan Aktivis Sahabat Alam (Kuasa) pula berpendapat KSAS memberi kesan kepada kawasan Orang Asli selain membuka ruang untuk generasi depan mengeksploitasi kawasan hutan untuk pembangunan.

Pengerusinya, Hafizudin Nasarudin mendakwa, pengalaman NGO itu selama lapan tahun memantau kawasan hutan mendapati banyak yang sudah diteroka termasuk penebangan balak.

"Kita mahu kerajaan mengawal pembangunan di kawasan hutan bagi mengelakkan kemerosotan habitat haiwan dan bencana banjir," katanya.

Antara NGO lain yang membantah untuk memajukan KSAS ialah Persatuan Pecinta Alam Malaysia Cawangan Kelantan; Jaringan Kampung Orang Asli Semenanjung (Jaringan) dan Persatuan Cakna Alam Kelantan.