Hantar laporan setiap bulan, bukan setahun - Anwar

Anwar
Anwar
A
A
A

KUALA SELANGOR - Semua menteri dan penjawat awam diingatkan supaya mengemukakan laporan bulanan dalam setiap projek yang ingin dirancang dan dilaksanakan kepada rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, laporan bulanan itu penting bagi menjaga integriti dan menunjukkan tauladan yang baik.

Tegas beliau, perkara itu juga dapat memastikan tindakan meminta laporan tidak lagi tertangguh sehingga enam bulan atau setahun sekali.

"Kalau kita (peringkat kementerian atau jabatan) umum apa-apa projek, mesti ada laporan setiap bulan," katanya ketika berucap semasa Program Madani Rakyat (PMR) Zon Tengah di Kompleks Sukan Kuala Selangor pada Ahad.

Anwar menjelaskan, hanya dengan penerimaan laporan secara berkala, penambahbaikan yang diperlukan dapat dilakukan dengan lebih efisien.

Katanya, penyampaian laporan melalui saluran yang betul dari peringkat Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), pejabat daerah, negeri hingga ke pentadbiran Exco dan Menteri Besar dalam memastikan perkembangan projek berjalan lancar.

"Saya harap bila pimpinan turun ke bawah tak mungkin dapat semak pada masa itu, mereka beri notis supaya diangkat laporan semasa, memang tugas itu bertambah baik menteri, menteri besar dan pejabat daerah.

"Tapi ini cara rakyat yakin bila kita umum dan laksanakan berbanding kalau umum projek tunggu pelancaran sebelum PRU (pilihan raya umum) ia tiada kesungguhan," jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, beliau berharap tradisi itu diamalkan penjawat awam, jabatan kerajaan dan kementerian agar ia dapat dipantau.

"Kita ambil contoh umpamanya isu besar beberapa tahun lalu mengenai tebatan banjir yang mengambil masa panjang, tapi kalau tak pantau bulanan pelaksanaan itu akan terbantut," jelasnya.

Anwar memberitahu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu antara contoh menteri yang mengemukakan laporan berkaitan mutu produktiviti padi semasa mengadakan lawatan.

"Laporan ini memainkan peranan penting dalam memastikan tindakan yang betul dapat diambil bagi merancang dan melaksanakan strategi yang sesuai berdasarkan keadaan semasa," tambahnya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!