Lemas: JBPM laksana siasatan dalaman keperluan SOP selenggara bot baharu
SEPANG - Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerja Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JKKPJBPM) kini dalam proses siasatan dalaman secara menyeluruh sebelum mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) menyelenggara bot yang baharu.
Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, setiap kali ada insiden melibatkan nyawa, keselamatan dan kesihatan pekerja, kes akan dirujuk ke JKKPJBPM untuk proses siasatan dalaman.
“Ia merupakan proses biasa di bawah JKKPJBPM kerana jawatankuasa itu akan melihat secara keseluruhan punca kematian itu berlaku.
“Melalui proses ini, jawatankuasa akan menentukan keperluan sama ada SOP akan berubah atau keperluan peralatan tambahan untuk memastikan kejadian itu tidak terjadi lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media Majlis Perlepasan Bendera Program Pendakian Amal Summit Attack Resources (SAR) Ahsana ke Island Peak dan Everest Base Camp bersama Azhan Rani di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Ahad.
Sebelum ini, media melaporkan seorang anggota bomba mati lemas ketika melakukan kerja menyelenggara bot di Jeti Pangkalan Marin JBPM Mak Mandin, Pulau Pinang.
Mohd Izwan Ilias, 42, yang juga anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Balai Bomba dan Penyelamat Butterworth dikatakan terjatuh ke dalam sungai di kawasan itu ketika menyelenggara bot penyelamat.
Sementara itu, ketika diminta untuk mengulas mengenai program pendakian amal tersebut, Nor Hisham berkata, aktiviti berkenaan merupakan satu pencapaian yang amat membanggakan bagi SAR.
SAR merupakan syarikat yang menyediakan aktiviti sukan luaran seperti mendaki, berkayak, berakit, terjun udara dan sebagainya serta menjadi perunding pengembaraan.
“Saya tidak menyangka SAR ini boleh pergi sejauh ini iaitu ke suatu tahap yang saya sendiri tidak pernah terfikir.
“Sebelum ini, SAR hanya mendaki gunung dan bukit di Malaysia seperti Gunung Tahan, Pahang dan Bukit Kutu, Selangor, namun kini ia sudah bertahap antarabangsa.
“Pengembaraan SAR kali ini ternyata lebih bermakna apabila ia merupakan program pendakian amal bersama Azhan Rani (pelakon) untuk membantu Rumah Kebajikan Ahsana,” ujarnya.
Selain Azhan Rani, pendakian ke Island Peak itu akan diketuai pendaki berpengalaman memerangkap Pegawai Bomba Kanan (PBK) II, Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa serta pendaki tunggal wanita, Zarina Abd Rahman, 50.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!