Liek Hou muncul juara dunia buat kali kelapan
JAGUH badminton para negara, Cheah Liek Hou, sekali lagi mencatat kejayaan membanggakan untuk negara apabila merangkul gelaran dunia kali kelapan di Kejohanan Badminton Para Dunia 2024 di Pattaya, Thailand pada Ahad.
Liek Hou yang beraksi dalam kategori perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal) menumpaskan musuh tradisinya dari Indonesia, Dheva Anrimusthi, 21-15, 16-21, 21-15 dalam perlawanan selama 62 minit pada aksi berlangsung di Dewan Pameran dan Konvensyen Pattaya.
Juara Sukan Paralimpik 2020 itu sebelum ini muncul juara pada edisi 2005, 2007, 2011, 2013, 2015, 2017 dan 2022.
Lebih membanggakan, pemain berusia 35 tahun itu turut melakar kejayaan berganda apabila memenangi emas beregu lelaki SU5 bersama pasangannya Muhammad Fareez Anuar dengan menumbangkan wakil India, Chirag Baretha-Raj Kumar, 21-17, 21-18.
kejayaan itu adalah gelaran dunia keenam Liek Hou dalam acara beregu selepas edisi 2005, 2007, 2011, 2013 dan 2015.
Liek Hou berharap kejayaan di Thailand mampu memberi motivasi buatnya beraksi cemerlang dalam kejohanan mendatang terutamanya Sukan Paralimpik 2024 di Paris dijadual berlangsung dari 28 Ogos-8 Sept ini."Kejohanan pertama untuk Tahun Naga ini dan saya dilahirkan pada Tahun Naga. Terima kasih kepada penaja yang sudi menyokong saya sepanjang karier saya.
"Tidak lupa juga kepada rakyat Malaysia yang sering menyokong saya. Terima kasih banyak menyokong saya dan pasukan para badminton negara selama ini,” katanya menerusi laman Instagram.
Dalam pada itu, beregu lelaki negara, Noor Azlan Noorlan-Muhammad Ikhwan Ramli terpaksa berpuas hati dengan pingat perak bagi acara WH1-WH2 (kerusi roda) apabila tersungkur di tangan Mai Jian Peng-Qu Zi Mo dari China, 10-21, 13-21. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!