Bantu individu fahami ayat al-Quran
KUANTAN - Al-Quran bukan sekadar dibaca tetapi perlu difahami supaya segala peringatan dan perintah ALLAH yang terkandung di sebalik maksud ayat-ayatnya dapat dihayati, dipegang dan diamalkan.
Pengerusi Sekretariat Rumah Ngaji Pahang, Md Abdul Ishak berkata, ada dalam kalangan umat Islam boleh membaca al-Quran dengan baik namun tidak memahami setiap ayat dibaca.
Menurutnya, masalah itu boleh dibaiki melalui kelas-kelas al-Quran mahupun melalui aplikasi seperti Think Quran yang semakin mendapat sambutan di negara ini.
“Tiada alasan lagi untuk tidak belajar untuk memahami kitab suci ini kerana banyak peluang telah disediakan.
“Segalanya terletak atas diri sendiri, sama ada mahu belajar atau tidak,” katanya.
Md Abdul secara peribadi menyambut baik inisiatif pihak yang memperkenalkan aplikasi Think Quran dalam membantu umat Islam memahami al-Quran.
“Aplikasi ini sangat baik, mudah dan boleh diakses pada bila-bila masa dan di mana sahaja serta dapat digunakan oleh pelbagai peringkat umur.
“Secara tidak langsung ia juga menggalakkan budaya membaca, memahami dan mengamalkan al-Quran dalam kalangan umat Islam hari ini,” katanya.
Justeru katanya, selain memudahkan memahami al-Quran secara individu, Think Quran juga sesuai untuk dijadikan modul kelas-kelas mengaji dan sebagainya.
“Selain itu ia juga sesuai dijadikan sebagai salah satu aktiviti program ilmu bagi warga sesebuah organisasi,” ujarnya.
Md Abdul berkata, ada institusi tahfiz di negara ini telah menggunakan aplikasi berkenaan bagi membantu memudahkan pembelajaran al-Quran untuk pelajar mereka.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!