Lelaki 'kantoi' seludup ular sawa dalam seluar
ALBANY - Seorang lelaki New York, Amerika Syarikat (AS) mengaku seludup tiga ekor ular sawa Burma dalam seluar semasa melintasi sempadan AS-Kanada, lapor AP.
Susulan tindakan itu, dia dijatuhi hukuman penjara setahun dan dedan AS$5,000 (RM23,887).
Calvin Bautista, 38, dilaporkan menyeberang ke utara New York dengan menaiki bas dan menyembunyikan reptilia itu dalam beg yang diikat dalam poket tepi paha seluarnya.
Bagaimanapun, taktiknya tidak berhasil apabila pegawai kastam dan pelindungan sempadan AS berjaya mengesan 'benjolan' dalam seluar lelaki tersebut.
Menurut dokumen mahkamah, lelaki yang tinggal di Queens membeli ular bernilai AS$2,500 (RM11,943) di sebuah kedai akuarium di Kanada.
Aktiviti membawa masuk ular sawa Burma dikawal oleh perjanjian antarabangsa dan peraturan persekutuan AS yang menyenaraikan reptilia itu sebagai 'memudaratkan manusia'.
Ular sawa Burma, reptilia terbesar di dunia banyak ditemui di negara Asia Tenggara dan di AS ia dianggap ular perosak kerana mampu membunuh haiwan asal di negara ini. - Agensi
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!