Kahwin di sempadan mudah, tapi boleh jadi mudarat

Gambar hiasan 123rf.
Gambar hiasan 123rf.
A
A
A

PERKAHWINAN di Selatan Thailand bukan isu baharu, malah sebahagian rakyat Malaysia begitu sinonim dengan hal pernikahan di kawasan sempadan yang dianggap sangat mudah tanpa perlu melalui banyak proses.

Perkara tersebut terjadi kepada mereka yang berkahwin tanpa restu keluarga dan pasangan yang ingin berkahwin lebih daripada satu tanpa pengetahuan isteri pertama atau poligami.

Sesetengah pasangan lebih rela menghalalkan hubungan mereka di sempadan tanpa memikirkan kesan dan implikasinya.

Jumlah tersebut terus meningkat selepas perintah kawalan pergerakan (PKP) apabila pintu sempadan negara telah dibuka.

Menurut Konsulat Malaysia di Songkhla, Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi mendedahkan hampir 300 pasangan dari Malaysia menikah di Selatan Thailand setiap bulan.

Menerusi jumlah tersebut, 60 peratus perkahwinan itu melibatkan mereka yang berpoligami dan selebihnya kerana tidak mendapat izin keluarga termasuk bernikah dengan pasangan di negara ini.

Beliau berkata, kebanyakan mereka akan memilih Narathiwat, Yala, Pattani, Songkhla dan Satun untuk melakukan akad nikah.

Urusan perkahwinan di sempadan negara tidak memerlukan syarat yang ketat, namun ia mampu membawa kerosakan terhadap institusi kekeluargaan di negara ini jika tidak didaftarkan secara sah.

Artikel Berkaitan:

Ramai yang melihat perkara itu sebagai hal remeh, namun jika tidak diberi perhatian secara khusus ia akan menjadi gejala tidak sihat kepada generasi akan datang.

Jika tidak sah, maka ikatan itu perlu dibubarkan (faraq) dan dinikahkan semula jika masih mahu kekal status sebagai suami isteri.

Kebanyakan daripada mereka bernikah melalui sindiket bukan sahaja enggan mendaftarkan perkahwinan di pejabat konsulat malah menggunakan wali hakim yang tidak dilantik oleh pemerintah.

Implikasi daripada perbuatan tersebut akan menyukarkan proses membuat sijil kelahiran anak di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan mengakibatkan kesulitan proses pendaftaran persekolahan.

Selain itu, ia juga akan menyukarkan tuntutan harta di mahkamah dan hal ini sering berlaku kepada pasangan yang berkahwin lebih daripada satu tanpa pengetahuan isteri pertama.

Proses tuntutan harta termasuk harta sepencarian dan harta pusaka akan menjadi sukar dan mereka yang menjadi mangsa sudah tentu wanita apabila gagal mendapatkan hak di mahkamah.

Meskipun proses akad nikah di Selatan Thailand nampak mudah dan senang, tetapi ia akan melukakan hati ramai pihak termasuk keluarga.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!