Ronaldo dikecam buat isyarat lucah
CRISTIANO Ronaldo berdepan kritikan selepas membuat isyarat lucah selepas berakhirnya perlawanan menyaksikan Al Nassr menang 3-2 ke atas Al Shabab dalam perlawanan Liga Pro Saudi, awal pagi Isnin.
Penyerang Portugal itu membuka jaringan dengan sepakan penalti pada minit ke-21 tetapi Al Nassr memerlukan gol lewat daripada Talisca yang meledak dua gol untuk kemenangan pasukan.
Selepas wisel penamat, video yang tular di media sosial merakamkan Ronaldo menekup telinganya sebelum berulang kali menunjukkan isyarat lucah ditujukan kepada penyokong Al Shabab yang melaungkan nama Lionel Messi.
Insiden itu tidak dirakam kamera televisyen, tetapi beberapa pakar Arab Saudi berkata Ronaldo harus dikenakan hukuman.
Tiada maklum balas rasmi tetapi akhbar Saudi Asharq al-Awsat berkata persekutuan bola sepak kebangsaan (SAFF) telah membuka siasatan berhubung insiden itu.
“Jawatankuasa disiplin menghadapi ujian terbesar. Kami akan tunggu dan lihat.
“Semuanya ada hadnya, tidak kira betapa terkenalnya anda. Beginilah liga utama," kata Waleed Al Farraj, seorang penulis dan pengacara televisyen terkemuka Saudi, di platform media sosial X.
Ronaldo yang berusia 39 tahun pernah menghadapi kritikan yang sama pada April tahun lalu apabila dia kelihatan mencengkam kemaluannya selepas tamat perlawanan liga menentang Al Hilal.
Awal bulan ini, dia mengambil selendang Al Hilal yang dilemparkan kepadanya dari tempat duduk penonton, memasukkannya ke dalam seluar pendeknya dan kemudian membuangnya ketika dia berjalan ke arah terowong selepas Al Nassr tewas 2-0 dalam perlawanan akhir Piala Musim Riyadh.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!