Tambah pewarna hitam dalam diesel gagal kaburi pihak berkuasa

Seorang pegawai kastam Cawangan Penguatkuasaan Durian Burung melakukan pemeriksaan ke atas lori tangki di hadapan pejabat Cawangan Penguatkuasaan Durian Burung, pada 17 Februari lepas.
Seorang pegawai kastam Cawangan Penguatkuasaan Durian Burung melakukan pemeriksaan ke atas lori tangki di hadapan pejabat Cawangan Penguatkuasaan Durian Burung, pada 17 Februari lepas.
A
A
A

ALOR SETAR - Cubaan mengaburi pihak berkuasa bagi mendapatkan pelepasan terus dengan cara menambah pewarna hitam ke dalam minyak diesel supaya warna minyak tersebut menjadi lebih gelap, tidak berhasil apabila dua lori tangki ditahan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Kota Putra, Durian Burung, Kuala Nerang, dekat sini, pada 17 Februari lepas.

Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kedah, Nor Izah Abdul Latif berkata, lori terbabit juga didapati membuat pengikraran yang tidak betul dalam Borang Eksport (Kastam 2) sebagai 'blend stock fuel oil' (bahan api campuran).

Menurutnya, 'blend stock fuel oil' tidak tertakluk kepada lesen eksport dan tiada duti/cukai.

"Sepasukan pegawai kastam telah menahan dua lori tangki bernombor pendaftaran tempatan kira-kira jam 9.30 pagi dan pemeriksaan awal menemui muatan yang disyaki minyak diesel.

"Pemeriksaan rapi terhadap lori pertama, didapati membawa muatan minyak diesel anggaran 45,000 liter dan lori kedua bermuatan 35,000 liter. Nilai diesel dianggarkan sebanyak RM172,000 dan nilai kenderaan kira-kira RM450,000," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, kedua-dua pemandu warganegara Malaysia berusia antara 37 dan 48 tahun ditahan untuk siasatan, namun mereka dilepaskan dengan jaminan.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 kerana mengangkut barang tidak berkastam/larangan.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!