Pemilik syarikat dituduh palsukan maklumat Penjana Kerjaya
KOTA BHARU - Seorang pemilik syarikat mengaku tidak bersalah atas sembilan pertuduhan memalsukan maklumat untuk mendapatkan insentif melalui Program Penjana Kerjaya 1.0 (Penjana Kerjaya).
Tertuduh, Muhamad Hilmi Zolkifli, 35, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Dazuki Ali selepas pertuduhan dibacakan.
Muhamad Hilmi dituduh menggunakan nama sembilan individu dengan jumlah berbeza membabitkan nilai keseluruhan sebanyak RM28,000.
Kesemua individu berkenaan sebenarnya bukan pekerja syarikat milik tertuduh.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah syarikat di Kompleks Perniagaan Saidina Ali, Kok Lanas antara 21 Julai 2020 hingga 6 Oktober 2020.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mariah Omar dan Tengku Tuan Nurul Haziqah Yacob manakala tertuduh diwakili peguambela, Yvonne Gan.
Tengku Tuan Nurul Haziqah sebelum itu memohon tertuduh dikenakan ikat jamin sebanyak RM20,000 dan syarat lain ialah melaporkan diri di SPRM setiap bulan, tidak mengganggu saksi dan menyerahkan pasport sekiranya ada.
Bagaimanapun, hakim membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM12,000 dengan syarat tambahan yang dimohon dan menetapkan 31 Mac depan untuk sebutan semula kes.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa memberikan maklumat palsu kepada Pegawai Perkhidmatan Pekerjaan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Melaka, Nurshahera Nordin, 34, secara dalam talian dengan mendaftarkan nama sembilan individu ke dalam portal Penjana Kerjaya bagi mendapatkan insentif antara RM1,600 hingga RM4,000.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 465 kanun yang sama.
Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau dengan kedua-duanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!