[VIDEO] Ahmad Samsuri mula langkah pertama di Parlimen
KUALA TERENGGANU - Ahli Parlimen Kemaman, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkongsi perasaan teruja untuk hadir pada hari pertama persidangan Dewan Rakyat yang bermula pada Isnin.
Beliau membuat penampilan pertama sempena Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga Majlis Parlimen Ke-15 selepas memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman pada 2 Disember tahun lalu.
Keterujaan beliau dikongsi menerusi hantaran di laman sosialnya pada Isnin.
"Lain sikit perasaan untuk bersidang pada kali ni. Orang baru, hadir insya-ALLAH. Doakan, " tulis Menteri Besar Terengganu itu berserta emoji senyum.
Pada malam Ahad, beliau turut memuat naik hantaran seumpama itu berserta kata-kata semangat kepada Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) yang lain.
"Insya-ALLAH, buat pertama kali saya akan bersama-sama dalam sidang Parlimen esok (Isnin).
"Selamat bersidang buat sahabat-sahabat, moga ALLAH SWT lancarkan lisan dan kekuatan menyampaikan hujah," tulisnya.
Pas berjaya mengekalkan status quo selepas menang dengan majoriti lebih besar iaitu pertambahan lebih 10,000 undi pada PRK Kemaman.
Ahmad Samsuri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ru Rendang menang dengan majoriti 37,220 berbanding 27,179 undi yang dimenangi penyandang sebelum ini, Che Alias Hamid dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November 2022.
Beliau memperoleh 64,998 undi manakala pesaingnya, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dari Barisan Nasional (BN) memperoleh 27,778 undi.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!