'Wire tapping, phone bugging' dibenarkan
SHAH ALAM - Penggunaan kaedah wire tapping atau phone bugging secara umumnya dibenarkan dalam perundangan negara dan boleh menjadi bukti di mahkamah.
Peguam, Syahredzan Johan berkata, mengikut Kanun Acara Jenayah, Seksyen 116C, pendakwa raya boleh memberi kebenaran kepada mana-mana anggota polis untuk memintas (intercept), mendengar atau merekod apa-apa perbualan melalui komunikasi.
Menurutnya, perkara itu dibenarkan sekiranya pada pertimbangan anggota polis terlibat, ia mengandungi maklumat berkenaan dengan perbuatan apa-apa jenayah.
"Di samping itu, apa-apa maklumat yang diterima melalui kaedah itu juga boleh diterima sebagai bukti di mahkamah.
"Namun, mengikut pengalaman saya sendiri, pihak berkuasa tidak bergantung kepada komunikasi atau maklumat seperti ini. Mungkin kalau ada sekalipun, ia dalam kes-kes melibatkan keselamatan negara," katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.
Johan berkata, bagaimanapun dalam kes pendedahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung rakaman audio konspirasi jenayah tertinggi melibatkan rakaman perbualan telefon enam individu termasuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, beliau tidak pasti sama ada terdapat kebenaran oleh pendakwa raya semasa rakaman dibuat.
Terdahulu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya mengadakan sidang akhbar di Putrajaya berhubung pendedahan tersebut dan memberitahu, rakaman berdurasi 45 minit itu diterima pihaknya beberapa hari lalu melibatkan salah guna kuasa, konspirasi, jenayah berhubung skandal mega syarikat SRC International, syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) serta beberapa kes lain.
Ketika mengulas berhubung sejauh mana ketulenan maklumat diperoleh daripada wire tapping atau phone bugging itu, Johan berkata, beban untuk menunjukkan bahawa ia tulen adalah pada pihak pendakwa raya sekiranya ia dibawa masuk ke mahkamah.
Katanya, pendakwa raya perlu menunjukkan rakaman tersebut adalah tulen dan suara-suara yang didengar ialah suara orang-orang yang disebut.
Secara tidak rela
Sementara itu, Pakar Undang-undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, secara amnya undang-undang keterangan Malaysia masih menerima keterangan walaupun ia didapati dengan cara salah seperti rakaman yang dibuat tanpa pengetahuan orang yang bercakap.
Beliau berkata, wire tapping dan bugging ialah contoh mendapatkan maklumat secara tidak rela.
Menurutnya, untuk siasatan ia memang dibuat bagi mendapatkan maklumat untuk tangkapan dan sebagainya, selepas itu maklumat tersebut digunakan di mahkamah.
"Sebagai contoh katanya, di bawah SOSMA (Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas), wire tapping dibenarkan oleh undang-undang.
"Macam rakaman yang tular itu (pendedahan SPRM), saya rasa bukan dalam konteks SOSMA. Jadi isunya, adakah rakaman tersebut akan digunakan untuk pendakwaan seseorang atau untuk siasatan seterusnya?
"Jika untuk pendakwaan, adakah ia boleh dijadikan sebagai bukti di mahkamah? Di sini kenalah rujuk Akta Keterangan dan jika ia boleh dijadikan bukti maka ia akan diterima di mahkamah," katanya.
Katanya, pendedahan kes rakaman audio oleh SPRM itu juga perlu bergantung kepada apa yang hendak dibuktikan, relevan atau tidak dan adakah rakaman itu berkaitan dan akan digunakan dalam kes perbicaraan yang sedang berjalan di mahkamah sekarang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!