MBK naik taraf, bina gerai baharu di Kuantan

Mohammad Fakhruddin meninjau kemudahan yang disediakan di Gerai Batu Hitam, Kuantan pada Isnin.
Mohammad Fakhruddin meninjau kemudahan yang disediakan di Gerai Batu Hitam, Kuantan pada Isnin.
A
A
A

KUANTAN - Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) telah menaik taraf kemudahan di kawasan tumpuan pelancong di daerah ini termasuk membina gerai makanan baharu sebagai daya tarikan.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar Dan Teknologi Hijau Negeri, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, ada beberapa kemudahan itu telah siap dan mula beroperasi termasuk gerai baharu di Pantai Batu Hitam di sini.

Menurutnya, gerai makanan baharu turut dibina di Pantai Chendor, Pantai Batu Hitam, Pantai Cherating, Beserah dan Taman Esplanade di sini.

"Kemudahan yang disediakan ini dapat membantu menarik lebih ramai pengunjung ke destinasi tersebut.

"Pada masa sama, ia juga memberi keselesaan kepada para peniaga," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan perasmian Gerai Batu Hitam di sini pada Isnin yang turut hadir, Datuk Bandar Kuantan, Datuk Razihan Adzharuddin.

Mohammad Fakhruddin berkata, Gerai Batu Hitam yang dibina bermula pada 2022 dengan kos RM2.5 juta telah beroperasi sejak Januari lalu.

Beliau berkata, daripada enam pintu, gerai yang dibina baharu dengan konsep lebih menarik itu kini mempunyai lapan pintu dilengkapi dengan pelbagai kemudahan.

Artikel Berkaitan:

"Sewaan gerai ini dikekalkan RM250 sebulan sehingga penghujung tahun ini sebelum kadarnya dinaikkan kepada RM400," jelasnya.

Sementara itu katanya, kemudahan serba lengkap yang disediakan itu perlu disusuli dengan tanggungjawab peniaga memastikan tahap kebersihan premis dan makanan sentiasa terjaga.

"Aspek kebersihan sebenarnya satu daya tarikan selain tempat yang cantik dan kemudahan disediakan di sesuatu kawasan peranginan.

"Sentiasa tonjolkan imej bersih sebagai tarikan kepada pengunjung selain tempat yang cantik dan kemudahan disediakan di sesuatu kawasan itu," ujarnya.

Menurutnya, agensi berkaitan termasuk MBK dan Jabatan Kesihatan Negeri perlu sentiasa memantau aspek kebersihan persekitaran dan makanan di fasiliti tersebut.

"Kena pastikan juga aspek kebersihan di tempat-tempat strategik di seluruh bandar raya ini," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!