Idea gila Israel mahu pindahkan penduduk Gaza
TEL AVIV - Tentera Israel mencadangkan 'idea gila' tentang pemindahan orang awam dari Genting Gaza walaupun pelan kontroversi itu pernah dibantah sebelum ini bagi mengelakkan Nakba (malapetaka) kedua ketika insiden pengusiran ratusan ribu penduduk Palestin pada 1948 daripada berulang.
Namun, mereka tidak memberikan butiran terperinci tentang bagaimana atau lokasi pemindahan golongan tersebut.
Pengumuman yang sengaja mengundang kecaman itu dibuat selepas Pejabat Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu pada Isnin menyatakan operasi darat di bandar Rafah kononnya penting untuk 'kemenangan secara total'.
Ketika ini, terdapat lebih 1.4 juta penduduk Gaza yang hilang tempat terpaksa bersesak di bahagian paling selatan wilayah tersebut setelah mereka tiada lagi tempat selamat daripada hujan bom rejim Zionis.
Usaha untuk melaksanakan gencatan senjata masih dijalankan negara perantara termasuk Mesir dan Qatar yang disifatkan sebagai usaha terakhir sebelum bulan Ramadan.
Amerika Syarikat (AS) yang merupakan sekutu kuat Israel menyatakan 'persefahaman' ke arah gencatan senjata dan pembebasan tawanan telah dicapai.
Netanyahu dikatakan menolak tuntutan Hamas dan berkeras mahu meneruskan serangan ke atas Rafah.
“Jika gencatan senjata dicapai, operasi itu terpaksa ditangguhkan, namun ia akan tetap dilancarkan untuk menghapuskan Hamas,” katanya.
Rancangan serangan berskala besar itu ditentang keras banyak pihak kerana ia dikhuatiri mengakibatkan malapetaka lebih dahsyat di wilayah terkepung tersebut. - AFP
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!