Titah Sultan Ibrahim penuh pesanan, pastikan kehidupan rakyat diperjuangkan
SEREMBAN - Titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim sempena Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen ke-15 pada Isnin penuh dengan pesanan terutama dalam memastikan kehidupan rakyat jelata sentiasa diperjuangkan.
Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, selaku ahli Dewan Rakyat, beliau minat untuk memetik titah penzahiran baginda yang mahukan semua pemimpin bersatu hati, berganding bahu dan bekerjasama untuk membangunkan negara demi kepentingan seluruh rakyat Malaysia.
"Bait-bait titah baginda Tuanku ini jauh menggambarkan betapa baginda amat mengharapkan kehidupan rakyat jelata sentiasa di perjuangkan dengan sepenuh keringat.
"Ia khususnya oleh ahli-ahli Dewan Rakyat yang telah dipilih melalui amalan demokrasi berparlimen," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Dalam pada itu, beliau juga menjunjung tinggi cadangan Sultan Ibrahim untuk merangka satu dasar dan strategi ke arah perpaduan rakyat yang lebih harmoni.
"Dengan mengambil contoh masih ada pihak yang belum arif dalam menutur bahasa kebangsaan dan tidak memahami budaya hidup bangsa lain, ternyata Tuanku memiliki misi dan visi yang luas serta jauh dalam mempertahankan perpaduan berasaskan Perlembagaan Persekutuan.
"Justeru, Yang di-Pertuan Agong tidak mahu mana-mana ahli dewan mahupun rakyat memainkan isu sensitif melibatkan raja, kaum dan agama, inilah yang juga sering diperjuangkan oleh Kerajaan Madani ketika ini," katanya
Ujarnya, asasnya, titah penzahiran Tuanku pada hari ini lebih berfokus kepada mengangkat tinggi kedudukan dan fungsi Perlembagaan Persekutuan dengan disulami pengamalan nilai-nilai pada rukun negara.
"Baginda juga tidak mahu kestabilan politik di negara ini diganggu-gugat oleh mana-mana pihak yang mungkin mahu melihat kerajaan semasa digulingkan.
"Selaku ahli dewan, saya akan berjanji untuk menjunjung tinggi titah baginda Tuanku agar dapat menjaga adab dan tatatertib ketika berada di dalam dewan, serta memberi partisipasi yang baik untuk pembentukan dasar yang bermanfaat kepada rakyat," katanya.
Terdahulu, Sultan Ibrahim menzahirkan peringatan, nasihat dan pandangan dalam pelbagai topik antaranya tingkah laku Ahli Dewan Negara dan Dewan Rakyat semasa persidangan, keperluan merangka dasar kukuh perpaduan negara, isu karenah birokrasi, hutang negara serta kestabilan politik.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!