1MDB: SPRM peroleh dokumen bank dari beberapa negara melalui MLA

Najib, 70, berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama. Foto fail Bernama
Najib, 70, berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama. Foto fail Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Penguasa Kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberitahu Mahkamah Tinggi pada Isnin bahawa beberapa negara telah menghulurkan bantuan dari segi penyerahan dokumen bank melalui Bantuan Undang-Undang Bersama (MLA) bagi membantu siasatan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapi Datuk Seri Najib Tun Razak.

Nur Aida Ariffin, 37, berkata, antaranya ialah Switzerland, Barbados, Hong Kong dan Belanda.

Bagaimanapun, saksi pendakwaan ke-49 itu berkata, keempat-empat negara tidak memberikan sebarang jawapan atau maklum balas ketika beliau mengemukakan permohonan untuk merakam percakapan saksi bank melalui Peguam Negara pada 2018 dan 2019.

Beliau juga berkata, saksi dari Singapura iaitu bekas Ketua Perkhidmatan Pengurusan Dana Bank BSI (Singapura) Kevin Michael Swampillai, yang merupakan saksi pendakwaan ke-44, telah memberi keterangan kepada pasukan siasatan.

"Seorang lagi saksi dari bank yang sama iaitu Yak Yew Chee (bekas Pengarah Urusan Bank BSI) tidak mahu memberikan keterangan di sini," katanya ketika disoal balas oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Nur Aida berkata, beliau dimaklumkan oleh pihak berkuasa Singapura bahawa Yak tidak mahu datang ke Malaysia walaupun rakaman percakapannya telah diambil semasa siasatan kes itu.

Ditanya Muhammad Shafee mengenai keberadaan Yew Chee, saksi itu berkata, "tidak tahu, pihak berkuasa Singapura memaklumkan dia tidak lagi berada di negara itu."

Pada November 2016, Yak telah dipenjara selama 18 minggu dan didenda SG$24,000 oleh Mahkamah Singapura selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan memalsukan dokumen serta dua pertuduhan gagal mendedahkan urus niaga mencurigakan berkaitan 1MDB.

Artikel Berkaitan:

Najib, 70, berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!