Selangor tubuh pasukan khas tangani El Nino
KUALA SELANGOR - Kerajaan Selangor menubuhkan pasukan khas (task force) bagi menangani El Nino lebih teruk yang dijangka melanda seluruh negara pada Julai tahun depan.
Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Ir Izham Hashim berkata, pasukan khas itu diketuai Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan dibantu agensi lain seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Air Selangor dan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Selangor.
Menurut beliau, pasukan khas yang ditubuhkan pada Jumaat lalu itu dibentuk selama dua tahun bagi melihat pengurusan dan bekalan air di negeri ini diurus dengan baik meskipun berdepan kemarau dalam tempoh panjang.
"Bekalan air ini amat penting kerana ia bukan sahaja bertujuan untuk diminum tetapi bagi keperluan pertanian dan sebagainya.
"Selain itu, kita juga ingin memastikan bekalan air ini dapat menampung bekalan air bagi mengelakkan catuan," katanya ketika ditemui pada Stesen Pam SJAM Rantau Panjang di sini pada Isnin.
Beliau memberitahu, jawatankuasa itu juga berperanan untuk melaporkan sebarang perkembangan situasi bekalan air kepada Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) Selangor.
"Ini termasuklah isu banjir, kemarau, kumbahan dan semua yang berkaitan dengan bekalan air," tambah beliau.
Belanjawan Selangor pada tahun lalu memperuntuk sebanyak RM332 juta untuk menjayakan SJAM termasuk RM100 juta yang dikhaskan bagi menjamin operasi loji rawatan air (LRA) jika berlaku pencemaran.
Skim itu turut merangkumi beberapa langkah penyelesaian lain antaranya pindaan enakmen LUAS dan pemantauan skuad pantas agensi berkenaan.
Dalam perkembangan sama, Izham berkata, kerajaan Selangor memberi jaminan bekalan air di negeri itu mencukupi untuk tempoh sembilan bulan bagi menghadapi musim panas pada Jun ini yang dijangka melanda seluruh negara.
Ujar beliau, jaminan itu berdasarkan pelaksanaan empat projek SJAM di negeri ini yang dijangka siap sepenuhnya pada tahun ini.
"Setakat ini kita mempunyai lebih 600 kolam takungan dan tujuh empangan yang mampu membekalkan air jika berlaku pencemaran dan kemarau," ujarnya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!