Berhenti main politik dalam isu kritikal negara

Afnan Hamimi. Foto : MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH
Afnan Hamimi. Foto : MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan diminta berhenti bermain politik dalam isu kritikal negara seperti Beras Madani, nilai mata wang merudum dan kos sara hidup.

Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, itu antara gesaan yang perlu dilakukan selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada Isnin yang menegaskan semua permainan politik perlulah tunggu pada masa pilihan raya akan datang.

Ujar beliau, apabila melibatkan isu negara, kepimpinan kerajaan perlu menjawab secara profesional serta menunaikan segala janji yang ditabur sebelum ini.

“Jika semua isu utama dan kritikal dapat diatasi... jika Kerajaan Madani menunaikan semua janji... jika ahli Parlimen pembangkang dilayan sama rata seperti manifesto Pakatan Harapan (PH) dan diberikan hak yang sepatutnya.

“Jika empat kerajaan negeri di bawah Perikatan Nasional (PN) dimudahkan semua permohonan projek pembangunan dan dilayan mengikut prinsip federalisme yang sepatutnya, maka tiada masalah untuk kerajaan yang ada ini untuk terus mentadbir sehingga Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16),” katanya dalam siaran di Facebooknya pada Isnin.

Selain itu, menurut Afnan Hamimi, tindakan politik terhadap para penjawat awam yang didakwa tidak selari dengan aspirasi Kerajaan Madani juga perlu dihentikan.

“Contohnya tindakan Menteri Pelancongan yang memecat seorang pegawai tinggi di bawah Kementerian Pelancongan baru-baru ini.

“Hentikan juga 'permainan politik' dengan negeri-negeri di bawah pentadbiran PN. Terdapat arahan secara tidak bertulis supaya pegawai agensi Persekutuan di negeri PN untuk tidak terlibat dalam mesyuarat dan acara-acara rasmi Kerajaan Negeri berkenaan.

Artikel Berkaitan:

“Hentikan 'bermain politik' di sekolah-sekolah dan pusat pengajian yang melibatkan pimpinan parti politik kerajaan. Pemimpin Kerajaan Madani bebas keluar masuk sekolah kempen politik. manakala ahli Parlimen Pembangkang pula disekat dan dihalang daripada dijemput ke sekolah dan pusat pengajian tinggi,” ujarnya.

Di samping itu, kerajaan turut diminta berhenti bermain politik dengan peruntukan ahli Parlimen pembangkang, di mana mereka yang menyatakan sokongan terhadap Perdana Menteri sahaja akan diberikan inisiatif tersebut.

“Kedah, Kelantan dan Perlis semua beri peruntukan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang kecuali Terengganu, langsung tak bagi, sebab tiada pembangkang.

“Perlu diingat, orang yang mengajar tentang permainan politik yang menggugat kestabilan politik negara dahulu, adalah orang yang sama memimpin negara hari ini.

“Langkah Kajang, Projek 16 September, desak Tan Sri Muhyiddin Yassin letak jawatan, dan desak Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bubar Parlimen, semua orang tahu siapa punya angkara. Dia buat dekat orang tidak apa, orang buat dekat dia tidak boleh,” jelasnya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!