Koridor selamat jadi perangkap maut

Penduduk Gaza yang hilang tempat tinggal tiada lagi lokasi selamat mahu dituju.
Penduduk Gaza yang hilang tempat tinggal tiada lagi lokasi selamat mahu dituju.
A
A
A

GENEVA - Sebuah pertubuhan hak asasi manusia mendakwa Israel telah menjadikan koridor selamat yang digunakan penduduk Palestin untuk menuju ke bahagian selatan wilayah itu sebagai perangkap maut terhadap golongan tersebut.

Menerusi laporan pada Ahad, Pemerhati Hak Asasi Manusia Euro-Med berpusat di Geneva telah mendokumentasikan insiden pembunuhan penduduk Palestin oleh rejim Zionis di pos pemeriksaan Wadi Gaza selepas mereka dipaksa berpindah dari Bandar Gaza ke kawasan al-Mawasi di selatan.

“Israel turut menyasarkan orang awam yang menunggu trak bantuan berhampiran pusat pemeriksaan tersebut,” ujar laporan itu lagi yang turut mengemukakan data sekurang-kurangnya 30 terkorban ketika berada di kawasan berhampiran bulatan al-Nabulsi di Jalan al-Rasheed di barat daya Bandar Gaza.

Menurut laporan Euro-Med lagi, unit kereta kebal rejim Zionis juga sengaja menembak lebih 300 penduduk Palestin yang kebanyakannya ialah wanita dan kanak-kanak serta warga emas ketika insiden pada Khamis lalu ketika kumpulan itu cuba melarikan diri dari kawasan tengah ke selatan Lembah Gaza.

Kumpulan penduduk terpaksa berpindah dari kawasan Rafah yang dibedil rejim Zionis.
Kumpulan penduduk terpaksa berpindah dari kawasan Rafah yang dibedil rejim Zionis.

“Kumpulan itu tetap menjadi sasaran tanpa perikemanusiaan walaupun membawa bendera putih dan mematuhi arahan rejim Zionis serta melalui jalan ditetapkan.“Gelombang perpindahan secara paksa itu berlaku pada masa sama ratusan penduduk Palestin yang kelaparan menunggu trak bantuan.

“Tentera Israel seakan-akan mengumpan mereka ke lokasi tersebut sebelum dibunuh beramai-ramai,” tambahnya yang mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan kejam tersebut yang disifatkan satu bentuk pelanggaran besar terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

Jelasnya, pembunuhan sewenang-wenangnya yang menyasarkan penduduk Gaza hilang tempat tinggal adalah contoh jelas jenayah perang dan jenayah kemanusiaan yang terletak di bawah bidang kuasa Status Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Artikel Berkaitan:

Ia kemudiannya membuat kesimpulan dengan menggesa penubuhan jawatankuasa penyiasatan antarabangsa bebas yang mengkhususkan serangan berterusan rejim Zionis ke atas Genting Gaza dan membuka siasatan diperlukan terhadap kesemua jenayah serta pelanggaran jelas dibuat ke atas penduduk Palestin termasuk pembunuhan sewenang-wenangnya.

OIC KUTUK GENOSID SECARA SISTEMATIK

Para Menteri Maklumat Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengutuk penindasan, pembunuhan dan genosid secara sistematik ke atas penduduk Palestin di Gaza serta Tebing Barat setelah konflik itu kini memasuki bulan kelima.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan selepas sesi pertemuan luar biasa di bandar Istanbul yang mana mereka turut menggesa pelaksanaan gencatan senjata tanpa syarat bagi menghentikan kekejaman di wilayah tersebut.

Mereka juga mengkritik kempen penyebaran maklumat salah dan palsu serta mengelirukan bagi menutup perbuatan zalim serta tidak berhati perut itu walaupun terdapat bukti jelas.

Israel terus memperhebatkan kempen pengeboman di selatan Genting Gaza tanpa menghiraukan kutukan komuniti antarabangsa.
Israel terus memperhebatkan kempen pengeboman di selatan Genting Gaza tanpa menghiraukan kutukan komuniti antarabangsa.

“Rejim Tel Aviv cuba menyembunyikan kebenaran daripada komuniti antarabangsa. Siasatan segera perlu dilancarkan ke atas jenayah sedemikian untuk mengheret rejim Zionis ke muka pengadilan,” tegasnya.

Para menteri itu juga mengulangi gesaan bahawa satu-satunya jalan penyelesaian menuju keamanan dan keselamatan yang stabil di wilayah itu adalah dengan merealisasikan hak diperjuangkan pendudukan Palestin sejak sekian lama termasuk penubuhan negara merdeka dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara mereka.

Hujan peluru yang sudah berlarutan selama 142 hari telah mengorbankan hampir 30,000 penduduk Gaza dan sebahagian besar korban ialah wanita dan kanak-kanak.

Bedilan tanpa henti dan semakin ganas itu menyaksikan ramai penduduk Gaza terperangkap serta tiada lagi tempat selamat untuk dituju. - Agensi

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!