Isu tol tidak jejas imej PM, kerajaan
SHAH ALAM - Isu berkaitan perkhidmatan dan pembayaran tol tidak akan memberi kesan terhadap imej kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana pelbagai insentif telah dilakukan sepanjang pemerintahan sejak tahun 2022.
Penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr Ahmad Marthada Mohamed berkata, walaupun sebelum ini terdapat pemimpin Pakatan Harapan (PH) menggunakan tol sebagai manifesto Pilihan Raya Umum (PRU), namun ia tidak akan menggugat kestabilan kerajaan Madani.
“Tidak dinafikan hal berkaitan tol ini akan jadi ‘bahan’ perbualan, tetapi ia tidak memberi impak besar kepada kerajaan mahupun Perdana Menteri.
“Bercakap mengenai tol, kerajaan bukan tidak melakukan apa-apa pendekatan untuk bantu rakyat. Sudah beberapa kali kerajaan beri tol percuma ketika negara menyambut perayaan bangsa,” katanya ketika dihubungi pada Isnin.
Sebelum ini, media melaporkan, Anwar yang juga Menteri Kewangan memberitahu, konsesi lebuh raya yang akan turut membabitkan isu tol di Kuala Lumpur boleh dirunding semula apabila kewangan negara lebih kukuh.
Malah Anwar turut bersetuju dengan pandangan mengenai terlalu banyak plaza tol di sekitar ibu negara, namun pemansuhan tol tidak dapat dilakukan kerana kerajaan terikat dengan perjanjian.
Mengulas kenyataan Ahli Parlimen Tambun itu mengenai rundingan semula, Ahmad Marthada berkata, kerajaan melakukan langkah tepat sebelum bertindak untuk menghapuskan tol.
Jelas beliau, penghapusan tol akan menyebabkan pertambahan perbelanjaan kerajaan sehingga mencecah bilion ringgit untuk menyelenggara lebuh raya berkenaan.
“Apa yang dikatakan oleh Perdana Menteri itu benar, boleh runding apabila kewangan negara kukuh. Sekarang bukan langkah tepat kalau hapus tol sebab ia akan tambah beban kerajaan.
“Buat masa ini, lebih baik kerajaan manfaatkan duit yang ada untuk kegunaan lain seperti memperkasa sektor kesihatan, pendidikan dan sebagainya,” ujarnya.
Bagi mengelakkan isu tol menjadi bualan politik, Ahmad Marthada berkata, kerajaan perlu membekukan segala permohonan berkaitan menaikkan kadar tol.
Tambah beliau lagi, usaha-usaha untuk membaik pulih, memperbesar dan membina jalan alternatif perlu dilakukan.
“Kita tak mahu rakyat merungut. Bayar tol tapi jalan masih lagi sesak. Jadi solusinya, kerajaan perlu bina laluan alternatif atau tambah lorong di lebuh raya.
“Semua ini untuk kebaikan rakyat. Kebanyakan yang menggunakan lebuh raya ini adalah golongan berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40),” katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!