Mencuba peluang ke Piala Dunia 2026

No Image Caption
A
A
A

IMPIAN 34 juta rakyat negara ini untuk melihat pasukan bola sepak kebangsaan mara ke pentas tertinggi bola sepak, iaitu Piala Dunia tidak pernah terpadam sejak dahulu lagi.

Tanggal 17 Mei 1973 merupakan detik bersejarah buat bola sepak Malaysia kerana pasukan kebangsaan beraksi buat kali pertama dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia 1974.

Beraksi di Seoul, Korea Selatan ketika itu, skuad negara tumpas 0-1 kepada Hong Kong dalam perlawanan klasifikasi untuk menentukan kumpulan kelayakan.

Sejak dari itu hingga sekarang, Malaysia belum pernah layak apabila sering terkandas di pusingan kedua kempen kelayakan meskipun bola sepak Malaysia gemilang pada era 70 hingga 80-an.

Kini di bawah pimpinan jurulatih Kim Pan Gon, Harimau Malaya memasang impian lebih tinggi mara ke peringkat ketiga kempen kelayakan dan peluang seterusnya untuk ke Piala Dunia 2026 yang bakal diadakan di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico.

Mampukah Malaysia layak ke kejohanan berprestij ini? Bagi penulis, tiada yang mustahil boleh berlaku, walau perjalanan ke situ masih berliku panjang.

Di atas kertas, Harimau Malaysia sudah berada di landasan terbaik untuk mara apabila memimpin saingan Kumpulan D hasil dua kemenangan ke atas Republik Kyrgyzstan (4-3) dan Chinese Taipei (1-0) November tahun lalu.

Tanggal 22 Mac ini, Malaysia akan mengharungi perlawanan seterusnya menentang Oman dan perlawanan timbal balik di Stadium Bukit Jalil empat hari kemudian.

Artikel Berkaitan:

Menurut Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, Malaysia perlu menang atau seri ke atas pasukan ke-80 ranking dunia itu untuk terus mengesahkan kemaraan.

"Walaupun (Harimau Malaya) ada enam mata, lawan Oman mesti sekurang-kurangnya seri atau satu menang satu kalah. Kita tak boleh kalah kedua-dua aksi itu.

Jika meraih keputusan baik (juara atau naib juara kumpulan) Malaysia akan meraih slot ke Piala Asia 2027 di Arab Saudi dan melangkah ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026.

Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) sendiri menyenaraikan Malaysia sebagai pasukan yang tidak disangka mampu menghadirkan elemen kejutan dalam pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026.

Bagi penulis, walaupun Harimau Malaya dibarisi ramai pemain naturalisasi serta warisan, tiada apa yang perlu dipertikaikan lagi.

Perlu 'jalan terus' dengan formasi dan gabungan begini. Lagipun sudah banyak negara mempraktikkan cara ini dan ia memang dibenarkan oleh FIFA.

Merumuskan secara ringkas aksi di Piala Asia Qatar 2023 lalu, beberapa kelemahan perlu segera di atasi terutamanya terlalu gugup dalam perlawanan awal menyebabkan Malaysia gagal memperagakan aksi terbaik.

Lihat sahaja perlawanan serba tak menjadi Malaysia pada perlawanan pertama menentang Jordan yang akhirnya menyaksikan Malaysia longlai dibolosi 0-4.

Tetapi, pujian harus diberikan kepada Harimau Malaya yang menampilkan permainan menakjubkan dan berjaya mengikat Korea Selatan dengan keputusan 3-3 sekali gus berjaya memperoleh satu mata dalam aksi terakhir Kumpulan E.

Melihat prestasi ini, Pan Gon dijangka akan terus mengekalkan sebahagian besar pemain sedia ada serta mungkin ada kejutan memanggil beberapa muka baharu.

Beberapa pemain seperti Natxo Insa dan Mohamadou Sumareh bagi penulis, mungkin boleh dipertimbangkan dengan digantikan pemain lain yang lebih kompetitif.

Cuma timbul kebimbangan mengenai tahap kecergasan dan persediaan pemain Harimau Malaya selepas berehat panjang sekali gus boleh memberi kesan terhadap prestasi mereka.

FAM sendiri masih belum lagi mengumumkan berita kem latihan pusat di Kelana Jaya dan perlawanan persahabatan sebelum menentang Oman.

Penulis berharap siapa pun barisan pemain yang dipanggil nanti, akan tampil cergas, stamina tinggi dan perancangan Pan Gon buat Harimau Malaya berjalan dengan lancar.

Kalau bukan kita harus berbangga dengan Harimau Malaya siapa lagi?

* Mohd Hazrizal Mohd Hanapiah ialah penyunting Sinar Harian

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!