Kisah peribadi jadi inspirasi
SHAH ALAM - Pengalaman jatuh bangun membina perniagaan, inspirasi kejayaan serta petua menguruskan empayar agar kekal relevan kepada industri menjadi fokus dua panelis program She Leads yang akan berlangsung pada Selasa.
Pengasas BloomThis, Penny Choo berkata, kisah peribadinya itu akan dikongsikan bagi memberi inspirasi kepada penonton yang hadir mengikuti program berkenaan.
“Saya mahu menggalakkan golongan wanita untuk terus memajukan diri dengan ilmu pengetahuan. Jangan takut dan berputus asa apabila kita atau perniagaan yang diusahakan diuji dengan cabaran.
“Perkongsian pengalaman peribadi akan lebih dekat dengan penonton apabila ia ada kaitan dengan situasi mereka dihadapi. Oleh itu boleh belajar daripada kegagalan yang saya pernah alami,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Mengusahakan perniagaan gubahan bunga dan hadiah sejak 2015, Penny memaklumkan, BloomThis yang diasaskan bersama suaminya, Giden Lim pada awalnya bagi memenuhi kelompongan yang wujud dalam industri flora.
Menurutnya, antara inovasi yang dibawa adalah perubahan kualiti produk, gubahan bunga yang kreatif, peningkatan pembelian dan penghantaran serta tambah baik pengalaman pelanggan.
“Sebelum ini pemberian (hadiah) bunga sangat fragmented kerana tiada perkhidmatan pelanggan yang baik, rekaan produk yang bagus selain pelanggan kena tempah dua hingga tujuh hari sebelum tarikh acara.
“Jadi kami melihat kekurangan ini sebagai peluang, sekali gus perbaiki perkhidmatan dengan menawarkan penghantaran pada hari sama selain menawarkan pelbagai pilihan yang menarik,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Sedania As Salam, Khairul Nisa Ismail berkata, program She Leads mampu menjadi platform dan forum kepada usahawan wanita sebagai panduan dalam bidang perniagaan dan bukan hanya jaringan atau peluang meluaskan perniagaan.
“Program ini adalah rantaian ekosistem yang memberi pendekatan holistik, seterusnya berkembang menjadi platform yang memberi pengalaman kepada semua orang untuk dimanfaatkan.
“Kita boleh manfaatkan bakat untuk memajukan diri dan mencapai kejayaan yang boleh dikongsi bersama,” ujarnya.
Berkongsi mengenai perjalanan kerjayanya, Nisa berkata, amat penting untuk mempunyai mentor yang memberi tunjuk ajar dalam bidang korporat.
“Saya rasa amat bertuah kerana mentor daripada majikan sebelum ini banyak membantu dan memberi panduan serta nasihat.
“Dalam kehidupan korporat, banyak cabaran yang perlu dihadapi terutama dalam bidang pengurusan pelanggan dan individu.
“Pengurusan individu amat penting jika kita mengetuai sesuatu jawatan kerana kakitangan adalah aset yang bekerja dan memberi komitmen sepenuhnya demi kejayaan perniagaan,” jelasnya.
Sebagai rekod, Sedania As Salam adalah anak syarikat milik penuh Sedania Innovator Bhd (Sedania), penyedia teknologi yang memperkasakan institusi kewangan dengan penyelesaian teknologi kewangan (fintech) Islam.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!