Maritim patahkan cubaan seludup 510 peket minyak masak

Minyak masak peket yang cuba diseludup dirampas Maritim Malaysia Zon Sandakan di pesisir pantai Pulau Berhala, Sandakan.
Minyak masak peket yang cuba diseludup dirampas Maritim Malaysia Zon Sandakan di pesisir pantai Pulau Berhala, Sandakan.
A
A
A

SANDAKAN - Usaha membendung aktiviti penyeludupan dilakukan secara berterusan dan terbaharu Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Sandakan berjaya mematahkan kegiatan itu dengan merampas sebanyak 510 peket minyak masak bersubsidi di pesisir pantai Pulau Berhala dekat sini pada Ahad.

Rampasan itu dilakukan dari sebuah bot yang dilihat dalam keadaan mencurigakan berlabuh di kawasan tersebut kira-kira jam 10.20 malam.

Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Zainudin Mohd Zuki berkata, bot yang ditemui tanpa pemilik itu dipercayai dibiarkan di situ setelah menyedari kehadiran anggota penguat kuasa melakukan rondaan di sekitarnya.

"Hasil pemeriksaan mendapati bot terbabit membawa muatan 30 kotak besar berisi 510 peket minyak masak bersubsidi seberat satu kilogram setiap satu.

"Minyak masak ini disyaki untuk diseludup keluar ke negara jiran," katanya dalam kenyataan pada malam Isnin.

Beliau berkata, anggaran keseluruhan nilai rampasan termasuk minyak masak bersubsidi, bot dan enjin sangkut sekitar RM11,000.

"Kesemua rampasan dibawa masuk ke Jeti Zon Maritim Sandakan dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan selanjutnya.

"Siasatan lanjut akan dilakukan bagi mengesan pemilik bot, dalang serta pelaku di sebalik kegiatan penyeludupan ini," tegasnya.

Artikel Berkaitan:

Zainudin berkata lagi, kes disiasat dibawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!