428 Program Jualan Rahmah diadakan seluruh Kedah tahun lalu

Program Jualan Rahmah di Dewan Orang Ramai, Padang Lembu, Gurun pada 4 Februari lalu mendapat sambutan baik daripada masyarakat. Foto FB Firdaus Johari (Gambar kecil: Muhammad Nizam Jamaludin)
Program Jualan Rahmah di Dewan Orang Ramai, Padang Lembu, Gurun pada 4 Februari lalu mendapat sambutan baik daripada masyarakat. Foto FB Firdaus Johari (Gambar kecil: Muhammad Nizam Jamaludin)
A
A
A

ALOR SETAR - Sebanyak 428 Program Jualan Rahmah diadakan seluruh Kedah pada tahun lalu dan berjaya mencatatkan rekod jualan melebihi RM22 juta.

Pengarah Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Kedah, Muhammad Nizam Jamaludin berkata, program tersebut diadakan di 15 kawasan Parlimen dan 36 Dewan Undangan Negeri ini.

Menurutnya, penganjuran program itu memberi kesan positif dalam usaha untuk meringankan kos sara hidup rakyat dan kira-kira 394,000 orang tidak melepaskan peluang untuk membeli barang keperluan pada Jualan Rahmah tersebut.

“Program Jualan Rahmah ini merupakan kolaborasi bersama pemain industri sektor peruncitan seperti pasar raya dan hypermarket yang menawarkan penjimatan harga barangan keperluan harian di antara 10 peratus hingga 30 peratus lebih murah daripada harga biasa.

“KPDN akan terus mempergiatkan lagi pelaksanaan Program Jualan Rahmah pada tahun ini untuk menggalakkan lebih ramai lagi pemain industri dapat bersama

menjayakan aspirasi ini dalam mengurangkan tekanan terhadap kos sara hidup rakyat di samping merancakkan kembali ekonomi sektor peruncitan,” katanya pada Selasa.

Muhammad Nizam berkata, selain Program Jualan Rahmah yang dijalankan di premis pasar raya, hypermarket dan kedai runcit, Jualan Rahmah Bergerak turut dijalankan dan tertumpu kepada kawasan kepadatan penduduk tinggi dan kawasan luar bandar.

Menurutnya, bagi Jualan Rahmah Bergerak, kelebihan pelaksanaan ini lebih mobilisasi dengan konsep ‘Kedai Cari Rakyat’ dan mampu dilaksanakan di tempat berbeza pada hari yang sama.

Artikel Berkaitan:

“Sepanjang tahun 2023, rekod jualan bagi Jualan Rahmah Bergerak di negeri Kedah melebihi RM17 juta dan jumlah keseluruhan pengunjung melebihi 200,000 orang untuk membantu masyarakat luar bandar memperolehi bekalan barangan keperluan asas dengan lebih mudah,” ujar beliau.

Tambahnya, KPDN Negeri Kedah merakamkan setinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat atas komitmen yang mampan sepanjang menjayakan Program Jualan Rahmah ini.

Jelasnya lagi, usaha berkenaan mampu membantu golongan yang memerlukan dalam meringankan beban kos sara hidup mereka di Kedah di samping meningkatkan pendapatan para peniaga di sini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!