Pizza Jangok Mek Ani 'melekat' di hati pelanggan
TANAH MERAH - Nama Pizza Jangok (cantik) Mek Ani mungkin kedengaran pelik bagi pastri berasal dari Itali itu namun itulah keunikan yang dicipta Noraini Ahmad, 34, agar ia 'melekat' di hati pelanggannya.
Ibu kepada empat anak berusia antara setahun empat bulan dan lapan tahun itu berkata, beliau mula menceburi bidang perniagaan itu sejak kira-kira empat tahun lepas dengan menjual pizza berbentuk mini yang dibuatnya dari rumah.
"Saya mula membuat piza mini selepas belajar dengan kakak yang tinggal di Kampung Kok Pasir, Tumpat dan menjualnya secara dalam talian pada 2016 sebelum membuka sebuah bengkel di Kampung Wakaf Simen, Jedok di sini setahun kemudian.
"Ketika berniaga di bengkel itu, saya kemudiannya mengambil langkah berani dengan membuat piza bersaiz sederhana kira-kira 10 sentimeter dengan mencuba beberapa jenis 'topping'," katanya ketika ditemui di kafenya di Kampung Chedok, Bukit Nangka di sini hari ini.
Noraini yang berasal dari Kampung Bukit Bunga berkata, bagi memantapkan kemahiran membuat piza, beliau kemudiannya memasuki kursus pendek kulinari di Pusat Latihan Kemahiran dan Keusahawanan Empower Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) Jeli pada 2016.
"Selepas lulus kursus pendek itu dan menepati syarat-syarat yang ditetapkan, ECER memberi bantuan berupa perkakasan dapur seperti ketuhar, mesin penguli, peti sejuk beku dan meja kerja berjumlah RM10,000, selain bantuan berjumlah RM3,000 daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
"Bantuan itu sangat diperlukan kerana tempahan yang diterima daripada pelanggan sangat banyak namun saya hanya mampu menghasilkan lima piza dalam masa setengah jam berbanding 25 piza dalam tempoh sama sekarang," katanya.
Usahawan muda yang kini memiliki tujuh pekerja dan turut dibantu suaminya, Nik Nor Suhaimi Ibrahim, 36, itu berkata, hasil usahanya dan bantuan kerajaan, beliau kini mampu membuka sebuah kafe yang beroperasi dari Khamis hingga Selasa bermula jam 12 tengah hari hingga 10 malam sejak Januari tahun lepas.
Noraini berkata, setakat ini beliau menghasilkan tujuh jenis piza iaitu piza makanan laut, piza ayam, piza tuna, piza daging, piza tomyam ayam, piza campuran dan piza tora yang menggunakan bebola ayam dengan harga bermula dari RM17 hingga RM28.
"Saya juga menggunakan keju jenis mozarela agar pelanggan dapat menikmati tarikan keju seperti di francais-francais piza yang terkenal," katanya.
Ditanya mengapa memilih nama Pizza Jangok Mek Ani, beliau berkata, idea itu timbul selepas menghadiri satu kursus keusahawanan beberapa tahun lepas.
"Pengajar kursus itu cakap kalau nak orang kenal produk kita, mesti guna satu jenama yang bagus dan nama yang mudah diingati pelanggan, justeru, saya memilih nama Pizza Jangok Mek Ani agar ia mudah 'melekat' dalam ingatan pengunjung yang pernah merasai piza ini," katanya.
Sementara itu, seorang pelanggan, Nurhazieqah Hasanuddin, 21, dari Kampung Jakar di sini berkata, dia mula menjadi penggemar Pizza Jangok Mek Ani sejak dua tahun lepas.
"Saya paling suka piza tuna dan piza makanan laut kerana rasanya yang sedap selain keenakan keju yang digunakan untuk ditabur di atas piza itu.
"Jika ada kesempatan, saya akan ke kedai ini bagi membeli piza untuk dimakan bersama keluarga," katanya.
Seorang lagi pelanggan, Nik Nur Alia Fatin Ibrahim, 20, yang berasal dari Kampung Chedok di sini berkata, dia amat menggemari piza tora kerana menggunakan keju yang banyak.
"Selain itu saya juga suka piza tora kerana ia menggunakan bebola ayam dan ia lain dari yang lain," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!