Tentera AS serang kawasan dikuasai Houthi di Yaman
KAHERAH - Tentera Amerika Syarikat (AS) menyerang kawasan yang dikuasai oleh Houthi di Yaman yang mengenai peluru berpandu, dron dan bot dron kumpulan itu dalam tindakan yang didakwa sebagai mempertahankan diri, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Dalam satu kenyataan, Komando Pusat AS (CENTCOM) berkata, serangan dari jam 4.45 petang hingga 11.45 malam waktu tempatan itu (1345 GMT hingga 2045 GMT) memusnahkan tiga kenderaan permukaan tanpa pemandu (USV) dan dua peluru berpandu anti-kapal (ASCM) yang "sedia untuk dilancarkan" ke Laut Merah.
Menurut CENTCOM, mereka turut memusnahkan sebuah kenderaan udara tanpa pemandu (UAV) di Laut Merah.
CENTCOM berkata, mereka menilai bahawa USV, ASCM dan UAV "mendatangkan ancaman kepada kapal dagang dan kapal Tentera Laut AS di kawasan berkenaan.
"Tindakan ini diambil untuk melindungi kebebasan pelayaran dan menjadikan perairan antarabangsa lebih selamat dan lebih terjamin bagi kapal Tentera Laut AS dan kapal dagang," kata CENTCOM.
Houthi sebelum ini berikrar untuk menyerang kapal yang ada kaitan dengan Israel di Laut Merah.
Bagaimanapun banyak kapal yang diserang itu tidak mempunyai kaitan dengan Israel. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!