Sultan Selangor harap sidang DUN berlangsung penuh integriti
SHAH ALAM - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berharap persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor berlangsung dengan penuh integriti dan bertanggungjawab serta menjadi contoh terbaik kepada rakyat.
Sultan Sharafuddin juga mahu suasana perbahasan dalam keadaan harmoni dan adil kepada semua serta tidak dijadikan medan menabur fitnah atau membesar-besarkan isu sensitif dan juga berita palsu.
“Suka beta ingatkan kepada Speaker dan ahli-ahli Dewan Negeri Selangor bertindak adil dan bertoleransi antara satu sama lain serta menumpukan perbahasan kepada perkara yang memberikan manfaat sebaiknya kepada rakyat dan kemajuan negeri,” titah Sultan Selangor pada upacara perasmian pembukaan mesyuarat penggal kedua DUN Selangor ke-15 di Bangunan DUN di sini pada Selasa.
Terdahulu keberangkatan tiba Sultan Selangor disambut Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari dan Speaker DUN Selangor, Lau Weng San.
Turut mengiringi baginda, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.
Sultan Selangor, turut menyeru rakyat negeri ini agar bersyukur atas nikmat keamanan, kesejahteraan dan keselamatan yang dikurniakan selain berusaha memperkukuh hubungan baik dan muhibah.
“Marilah kita berusaha memperbaiki kekurangan yang ada, menghindari persengketaan dan menjauhi segala perbuatan yang boleh membawa kemudaratan terutama rasuah dan salah guna kuasa,” titah baginda.
Persidangan DUN Selangor berlangsung 10 hari bermula pada Selasa sehingga 11 Mac ini.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!