BNM tingkat perbincangan galak aliran masuk berterus ke pasaran forex
BANK Negara Malaysia (BNM) telah meningkatkan perbincangan dengan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan, syarikat korporat dan pelabur untuk menggalakkan aliran masuk yang berterusan ke dalam pasaran pertukaran asing.
Gabenor BNM, Datuk Abdul Rasheed Ghaffour berkata, ringgit pada masa ini terkurang nilai.
"Memandangkan asas dan prospek ekonomi Malaysia adalah positif, ringgit sewajarnya didagangkan pada tahap yang lebih tinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Kerajaan Madani tidak memandang ringan isu penurunan ringgit, malah mengambil langkah berterusan bagi menanganinya dan seiring usaha memastikan angka pelaburan Malaysia kekal utuh.
Anwar berkata, bank pusat telah dipertanggungjawabkan untuk memantau ringgit secara rapi manakala di pihak kerajaan, semua kementerian dan pihak berwajib, termasuk majlis pelaburan turut mengadakan mesyuarat harian bagi memberi tumpuan menangani isu berkenaan.
"(Ya), penurunan ringgit itu membimbangkan. Kita melihat ke hadapan, namun berdasarkan angka pelaburan yang mana Malaysia mencatat rekod pelaburan terbesar dalam sejarah; inflasi terus menurun dan pertumbuhan adalah berdaya tahan berbanding negara-negara jiran,” kata Perdana Menteri.
Sementara itu, ringgit diniagakan pada 4.7770/7805 pada 12.32 tengah hari ini selepas dibuka pada 4.7775/7805 berbanding dolar AS daripada 4.7750/7795 semasa ditutup pada Isnin. -Bernama
TAG: Bank Negara Malaysia, Ringgit, dolar AS, Abdul Rasheed Ghaffour
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!