Peguam Shafee tidak sihat, perbicaraan kes 1MDB Najib tangguh

Najib ketika hadir bagi prosiding sambung bicara kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapinya di Mahkamah Tinggi pada Isnin. Foto Bernama
Najib ketika hadir bagi prosiding sambung bicara kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapinya di Mahkamah Tinggi pada Isnin. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR- Perbicaraan Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung kes penyelewengan RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Mahkamah Tinggi ditangguhkan hari ini selepas peguam utama bekas perdana menteri itu, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mengalami palpitasi.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah membenarkan permohonan peguam Tania Scivetti untuk penangguhan kerana Muhammad Shafee tidak dapat menghadiri prosiding hari ini.

"Tan Sri Muhammad Shafee tidak sihat dan akan bertemu doktor hari ini untuk mengetahui keadaannya kerana mengalami palpitasi (keadaan berdebar-debar) semoga esok beliau sihat dan boleh menghadiri prosiding," kata Scivetti.

Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib tidak membantah permohonan itu dan mencadangkan tarikh baharu untuk menggantikan perbicaraan hari ini pada Mac (14, 15 dan 27) serta pada 1 hingga 5 April.

Hakim Sequerah bersetuju dengan tarikh itu dan memerintahkan perbicaraan bersambung esok.

Najib, 70, berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!