Dagangan dua hala Malaysia-Kemboja tunjuk trend meningkat - Hun Manet

Anwar (kanan) bersama Hun Manet (kiri) menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman di antara Gabenor Bank Negara Malaysia Datuk Shaik Abdul Rasheed Abdul Ghaffour (dua, kanan) dan Gabenor Bank Negara Kemboja Dr Chea Serey (dua, kiri) di Bangunan Perdana Putra hari ini. - Bernama
Anwar (kanan) bersama Hun Manet (kiri) menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman di antara Gabenor Bank Negara Malaysia Datuk Shaik Abdul Rasheed Abdul Ghaffour (dua, kanan) dan Gabenor Bank Negara Kemboja Dr Chea Serey (dua, kiri) di Bangunan Perdana Putra hari ini. - Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Perdagangan dua hala antara Kemboja dan Malaysia menunjukkan aliran meningkat yang menggalakkan dengan terdapat potensi yang belum dimanfaatkan sepenuhnya, kata Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet.

Bercakap pada sidang media bersama dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, di sini pada Selasa, beliau berkata, bagi mengukuhkan lagi perkongsian ekonomi, kedua-dua pemimpin menekankan kepentingan peranan aktif sektor swasta kedua-dua negara dalam memupuk kerjasama ekonomi dan inisiatif pembangunan.

"(Ini akan dilakukan melalui) pelaksanaan segera dua MoU (memorandum persefahaman) antara sektor swasta masing-masing yang akan ditandatangani lewat hari ini,” katanya.

Hun Manet berkata, beliau juga akan berucap pada Forum Perniagaan Malaysia Kemboja lewat hari ini untuk mempamerkan potensi dan peluang pelaburan yang menanti perniagaan Malaysia.

Terdahulu, kedua-dua pemimpin menyaksikan pertukaran MoU mengenai Kerjasama dalam Inovasi Kewangan dan Sistem Pembayaran antara Bank Negara Malaysia dan National Bank of Cambodia.

Hun Manet berkata Kemboja menjemput Malaysia untuk mempertimbangkan kemungkinan untuk menubuhkan Jawatankuasa Perdagangan Bersama yang telah dibincangkan oleh kedua-dua pemimpin untuk meneroka nilai tambahan dan menyuntik tenaga baharu ke dalam hubungan ekonomi dan perdagangan.

Hun Manet bercakap pada sidang media selepas mengadakan pertemuan bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Bangunan Perdana Putra hari ini. - Bernama
Hun Manet bercakap pada sidang media selepas mengadakan pertemuan bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Bangunan Perdana Putra hari ini. - Bernama

Beliau berkata, mereka turut membincangkan pengukuhan kerjasama dalam bidang pendidikan dan latihan, kastam, industri halal dan kemungkinan memperluas import produk pertanian.

Artikel Berkaitan:

"Menyedari kepentingan kesalinghubungan yang dipertingkatkan, kami membincangkan kemungkinan kerjasama lanjut dari segi pelancongan dan penerbangan terus tambahan seperti yang disebutkan oleh Perdana Menteri Anwar, terutamanya untuk lebih banyak destinasi antara kedua-dua negara untuk memudahkan lawatan antara rakyat kita serta pelancong dari negara ketiga," katanya.

Di bawah kerjasama pertahanan dan keselamatan, beliau berkata, kedua-dua pemimpin mengesahkan komitmen untuk mengukuhkan kerjasama dan mengekalkan kerjasama, termasuk melalui pertukaran maklumat dan menangani cabaran serantau yang ditimbulkan oleh penipuan dalam talian.

Mengenai pembinaan kabel penghantaran kuasa bawah laut antara Laos, Kemboja dan Singapura yang merentasi dasar laut Malaysia, beliau berkata, Kemboja mempelawa Malaysia untuk mempertimbangkan penyertaan dalam projek itu bagi mengukuhkan keselamatan tenaga serantau.

Mengakhiri ucapannya, Hun Manet berkata, beliau dan Anwar optimis mengenai masa depan hubungan antara kedua-dua negara dan akan terus bertemu dan berunding secara berkala untuk mengukuhkan hubungan ke tahap baharu.

Hun Manet tiba pagi ini untuk lawatan sulungnya ke Malaysia atas jemputan Anwar. Beliau dilantik ke jawatan itu pada Ogos 2023.

Menurut Wisma Putra, pada tahun 2023 Kemboja menduduki tempat ke-9 sebagai rakan dagang terbesar Malaysia di rantau ASEAN.

Nilai perdagangan dua hala antara Malaysia dan Kemboja berjumlah RM3.02 bilion dengan eksport dari Malaysia ke Kemboja bernilai RM2.35 bilion mewakili peningkatan 1.6 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Syarikat-syarikat Malaysia telah melaksanakan 162 projek di Kemboja dengan pelaburan berjumlah RM14.4 bilion. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!