Pembangkang keluar dewan, dakwa kerajaan tak ikut aturan mesyuarat

Ahli Parlimen pembangkang bertindak keluar dewan ketika Perdana Menteri merafak sembah ucapan setinggi-tinggi tahniah dan ikrar taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen pada Selasa. Foto Bernama
Ahli Parlimen pembangkang bertindak keluar dewan ketika Perdana Menteri merafak sembah ucapan setinggi-tinggi tahniah dan ikrar taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen pada Selasa. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Hari kedua persidangan Dewan Rakyat menyaksikan semua ahli Parlimen pembangkang bertindak keluar dewan ekoran tidak bersetuju dengan keputusan Speaker, Tan Sri Johari Abdul membenarkan usul untuk Perdana Menteri menzahirkan ucapan tahniah dan ikrar taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Menjelaskan tindakan itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, kerajaan sepatutnya tidak melakukan sesuatu di luar peraturan mesyuarat kerana ia dilihat salah guna kuasa.

“Sebab itu kita (pembangkang) tidak bersetuju (lulus usul) sebab rakyat di luar sana beranggapan seolah-olah pembangkang hanya biarkan apa sahaja yang dilakukan kerajaan.

“Hari ini kami nak buktikan, segala apa mereka (kerajaan) lakukan yang tidak mengikut peraturan, kita akan bangkang. Kita akan tentukan supaya semua yang dilakukan kerajaan adalah sesuatu yang mengikut perundangan serta peraturan sedia ada,” katanya dalam sidang media di Bangunan Parlimen pada Selasa.

Sidang media oleh ahli-ahli Parlimen pembangkang selepas bertindak keluar Dewan Rakyat.
Sidang media oleh ahli-ahli Parlimen pembangkang selepas bertindak keluar Dewan Rakyat.

Terdahulu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memulakan sidang petang Dewan Rakyat dengan ucapan tahniah kepada Sultan Ibrahim dan terima kasih kepada Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang telah menaungi negara dan rakyat selama lima tahun lalu.

Dalam pada itu, Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut turut mengingatkan kerajaan supaya tidak menggunakan kuasa majoriti di Dewan Rakyat untuk melakukan sesuatu dengan sewenang-wenangnya.

“Kalau dengar titah diraja semalam (Isnin) mengatakan kita mesti ikut perundangan, ikut prosedur yang ada, maka tunggu lah masanya untuk Perdana Menteri cakap, dia nak buat dua, tiga jam atau sehari suntuk, kita (pembangkang) boleh dengar.

Artikel Berkaitan:

“Tetapi apabila melakukan sesuatu di luar peraturan mesyuarat, menyebabkan kita rasa ini adalah sesuatu penyalahgunaan kuasa,” tegasnya.

Sementara itu, Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menempelak tuduhan Anwar yang menyatakan tindakan pembangkang sebagai tidak menghormati institusi diraja.

“Bagi kami yang sebenarnya tidak menghormati institusi Yang di-Pertuan Agong ialah Perdana Menteri kerana semalam dah dititahkan, seolah-olah tak percaya, kena bagi penerangan pula dalam Parlimen. (Beri) Penerangan apa lagi, biarlah dengar perbahasan dahulu.

“Kalau tak ikut peraturan, kita terpaksa betulkan. Yang di-Pertuan Agong semalam bertitah, sebagai penggubal undang-undang dan ahli Parlimen, you (kamu) sendiri kena ikut peraturan. You itu termasuk kerajaan dan pembangkang,” katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!