Bukti jenayah tidak rasmi sukar digunakan di mahkamah
SHAH ALAM - Bukti jenayah diperoleh secara tidak rasmi sebenarnya menjadi penghalang besar kepada agensi penguatkuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membuktikan penglibatan individu dituduh di mahkamah.
Pakar Undang-undang, Profesor Datuk Salleh Buang berkata, mengambil contoh kes pendedahan bukti audio konspirasi jenayah tertinggi melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam, sekiranya rakaman intipan melalui telefon bimbit dibuat dengan pengetahuan mahkamah, maka bukti itu tiada masalah digunakan.
Bagaimanapun, sekiranya perbuatan intipan itu dibuat tanpa izin, secara jelas ia melanggar undang-undang privasi sekali gus menjadikan rakaman perbualan itu sebagai bukti jenayah diperolehi tidak rasmi (unofficialy obtained evidence).
"Sekiranya bukti rakaman audio perbualan itu dalam proses siasatan pihak berkuasa, ia mungkin boleh membantu siasatan tetapi akan menjadi masalah jika hendak dibawa ke mahkamah.
"Peguam tertuduh akan mempersoalkan adakah tindakan intipan itu dengan izin mahkamah dan pastinya bermati-matian meminta mahkamah menggugurkannya kerana dianggap tidak relevan," katanya kepada Sinar Harian semalam.
Salleh berkata, mana-mana pihak penguatkuasa tiada masalah menggunakan apa jua kaedah intipan terhadap suspek untuk membantu siasatan tetapi bukti diperoleh perlu disokong bukti lain yang lebih rasmi dan relevan.
Menurutnya, kebolehterimaan bukti oleh mahkamah sangat penting dengan nilai timbang bukti dikemukakan perlu memberatkan kepada kaedah penerimaan bukti secara rasmi.
"Bagaimanapun, terdapat pengecualian sekiranya siasatan menggunakan kaedah intipan tertentu berkaitan isu keselamatan negara.
"Dalam kes pendedahan SPRM, ia dianggap jenayah kolar putih biasa dengan kesemua tertuduh masih boleh diwakili peguam sewaktu dibicarakan di mahkamah.
"Justeru, agensi penguatkuasa seperti SPRM perlu mencari bukti diperolehi secara sah supaya maklumat pendakwaan dapat didedahkan di mahkamah tanpa masalah," katanya.
Salleh berkata, secara peribadi, beliau mempersoalkan tindakan SPRM mendedahkan bukti rakaman audio konspirasi terbabit terlebih dahulu kepada orang awam tanpa dikemukakan kepada pihak polis untuk pengesahan.
"Sepatutnya SPRM perlu mengumumkan penemuan bukti baru untuk dikemukakan dalam kes pendakwaan skandal 1MDB membabitkan Najib tanpa perlu mendedahkannya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!