JDT Racing Team mampu gegar dunia sukan permotoran

Hafizh Syahrin akan bersaing pada ARRC 2024. Foto Johor Southern Tigers
Hafizh Syahrin akan bersaing pada ARRC 2024. Foto Johor Southern Tigers
A
A
A

PERSATUAN Sukan Bermotor Malaysia (MAM) optimis pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) Racing Team berpotensi 'menggegarkan' dunia sukan permotoran yang baru diceburi.

Presiden MAM, Tan Sri Mokhzani Mahathir berkata, JDT Racing Team mampu mengikut jejak langkah kelab JDT yang telah membuktikan kecemerlangan dalam kancah bola sepak tempatan selain menjadi pasukan pertama Asia Tenggara menjuarai Piala AFC pada 2015 selepas menewaskan Istiklol FC (Tajikistan), 1-0.

“Berdasarkan profesionalisme JDT dalam sukan bola sepak dan sekiranya dilanjutkan dalam dunia permotoran, peluang (JDT Racing Team) jadi jaguh dalam masa terdekat adalah jelas.

“Saya fikir pasukan ini dibentuk untuk mencapai kejayaan,” katanya kepada pemberita selepas sesi makan tengah hari bersama media pada Selasa.

Pada Oktober lalu, JDT melebarkan sayap mereka dengan menceburi sukan permotoran bersama pelumba motosikal negara, Hafizh Syahrin Abdullah yang akan bersaing pada Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) pada musim 2024.

Pelumba berusia 29 tahun itu merupakan wakil Malaysia pertama bersaing dalam Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) pada 2018.

Selain bola sepak, JDT turut menceburi sukan lain seperti futsal, polo, tinju dan hoki ais.

Dalam pada itu, Mokhzani berkata, MAM akan melancarkan satu garis panduan yang lebih komprehensif untuk penganjuran acara sukan permotoran dan perlumbaan drag tidak lama lagi.

Artikel Berkaitan:

Katanya, garis panduan tersebut akan memberi gambaran jelas kepada penganjur dalam memastikan keselamatan semua pihak dalam acara yang mendapat tauliah dari MAM terjamin.

Beliau pada masa sama, berkata MAM juga sedang memperkukuhkan kerjasama bersama Kementerian Belia dan Sukan, kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan polis bagi memastikan isu keselamatan dipatuhi penganjur termasuk mengelakkan kemalangan ketika perlumbaan berlangsung. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!