Polio merebak angkara tidak vaksin
ANDA MUSYKIL DOKTOR JAWAB
Kembali 'menyerang' kelompok masyarakat akibat tidak mengambil suntikan imunisasi
Soalan 1:
SUDAH lama kes polio tidak berlaku di negara kita. Bagaimanapun, ia kini mula kedengaran. Doktor, adakah penyakit itu berkait faktor kurang penjagaan kesihatan yang menyebabkan ia kembali menyerang? Apakah risiko kemungkinan yang boleh berlaku terutamanya kepada kanak-kanak?
- IBU RISAU, AISYAH ABDUL HAMID, 34, KUALA LUMPUR
Jawapan:
PUAN, sudah hampir 27 tahun Malaysia bebas daripada polio.
Fenomenanya pernah menggemparkan negara kerana satu kes sudah cukup untuk memberitahu bahawa kita telah gagal dalam pengawalan sifar kes polio.
Sebenarnya penyakit polio itu boleh berlaku hanya jika dalam sesuatu populasi tersebut terlampau kurang peratus kanak-kanak yang mengambil suntikan vaksin.
Disebabkan kes terdahulu, Malaysia telah menjalankan pemantauan yang berkesan untuk mengesan polio dalam kalangan kanak-kanak terutama di Sabah.
Hal itu selepas dua kes di Filipina disahkan positif penyakit polio. Kanak-kanak yang telah menerima imunisasi sehingga umur 18 bulan dengan lengkap sepatutnya menerima liputan untuk tidak mendapat penyakit polio sebanyak 96 peratus.
Anak lain berisiko berjangkitMenurut kenyataan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), selagi ada seorang kanak-kanak didapati mengalami jangkitan polio, golongan berkenaan di seluruh negara juga berisiko untuk mendapat penyakit yang sama.
Itu kerana sanitasi yang buruk boleh menyebabkan virus polio hidup lebih lama dari yang dijangkakan. Polio yang diambil secara oral boleh hidup sehingga 12 bulan di dalam sanitasi yang tidak bersih.
Polio boleh berjangkit kepada si kecil yang tidak mendapat perlindungan imunisasi seperti yang sepatutnya. Seperti tindakan drastik yang dilakukan di Sabah, pastikan kanak-kanak yang bawah umur lima tahun mendapat imunisasi yang sepatutnya.
Malangnya didapati sebanyak 12 peratus daripada penduduk di Sabah yang berusia antara dua bulan hingga 15 tahun tidak mendapat vaksinasi.
Survalence ke atas sanitasi persekitaran atau makanan dan minuman mendapati Sabah masih banyak lokasi yang mendapat bekalan air dari sumber tanah.
Cara sanitasi dibuang juga perlu diambil kira untuk mengelakkan penyakit.
Serang tisu saraf, melemahkan organ pernafasan
Soalan 2:
Sememangnya jangkitan virus polio sangat ditakuti kerana lazimnya akan menjejaskan tubuh badan penghidapnya. Doktor, bahagian anggota badan yang manakah paling mudah terjejas dan menjadi lemah akibat serangannya?
Adakah penyakit itu hanya berkait daripada penyebaran unsur seperti air atau makanan?
Mohon penjelasan doktor.
- MAHU SIHAT, MUHD HAFIZ DANIAL, 45, BUKIT KATIL, MELAKA
Jawapan:
Tuan, satu daripada 200 kes penyakit polio boleh menyebabkan lumpuh kerana ia menyerang sistem saraf. Penyakit itu sangat ditakuti dan dianggap berbahaya kerana semua bahagian anggota tubuh mempunyai risiko untuk diserang polio. Lima ke 10 peratus kes tersebut boleh menyebabkan pesakit meninggal dunia.
Hal ini kerana ia akan menyerang tisu dan melemahkan sistem atau organ pernafasan.
Dalam pada itu, wabak polio boleh berpunca dari najis dan lendir yang dibuang tidak mengikut piawaian yang sepatutnya.
Makanan yang tercemar, sistem sanitasi yang tidak baik juga boleh menjadi punca. Air dan makanan mestilah dipastikan supaya sentiasa dimasak.
Pun begitu, individu-individu lain juga berisiko dijangkiti virus polio. Tambahan pula sekiranya mempunyai sistem imun yang rendah seperti pesakit yang sedang menjalani rawatan kemoterapi dan penerima organ.
PROFIL
Dr Nor Mahani Harun merupakan Pakar Pediatrik, Hospital Pakar An-Nur, Bangi, Selangor.
ANEKDOT
Apakah itu penyakit polio?
Polio atau poliomyelitis adalah akibat jangkitan virus polio yang merosakkan sistem saraf pusat.
Virus polio lazimnya menjangkiti kanak-kanak bawah lima tahun yang belum mendapat pelalian.
Bagaimanapun virus itu boleh menjangkiti orang dewasa. Virus liar polio (wild polio virus – WPV) masih endemik di tiga buah negara (Afghanistan, Pakistan dan Nigeria).
Beberapa negara lain juga dijangkiti virus itu kerana pergerakan manusia. Selagi terdapat negara yang menyebarkan WPV, semua negara masih berisiko dijangkiti.
Agen penyebab: Poliovirus jenis 1, 2 dan 3 (genus Enteroviruses). WPV jenis 2 telah dibasmi semenjak tahun 1988.
Komplikasi:
Otot pernafasan dan (atau) otot menelan menjadi lumpuh sehingga boleh mengancam nyawa. Kelumpuhan anggota badan adalah kekal.
Rawatan:
Tiada rawatan khusus. Rawatan diberikan semasa fasa akut sehingga ke peringkat komplikasi lumpuh.
Peralatan pernafasan diperlukan bagi pesakit yang mengalami kelumpuhan otot pernafasan.
Terapi fizikal dilakukan untuk memaksimumkan fungsi otot selepas menjadi lumpuh bagi mencegah kecacatan lain yang muncul lewat.
Pelalian Pencegahan
Jenis vaksin: terdapat dua jenis vaksin polio iaitu Oral Polio Vaccine (OPV) dititiskan ke dalam mulut dan Inactivated Polio vaccine (IPV) diberi secara suntikan.
Bilangan dos: Tiga dos prime dan satu dos tambahan.
Jadual: Diberi ketika umur dua, tiga dan lima bulan dengan dos tambahan pada umur 18 bulan (Jadual Imunisasi Kebangsaan di Malaysia).
Pengembara: Mereka yang hendak mengembara ke negara yang endemik atau sedang mengalami jangkitan WPV, dinasihatkan untuk mendapatkan pelalian polio selewat-lewatnya empat minggu sebelum berlepas.
Langkah berjaga-jaga khusus:
Individu yang mempunyai sistem imuniti yang rendah (immunocompromised) hendaklah mengambil vaksin IPV.
Vaksin OPV yang mengandungi virus polio yang dinyahaktifkan boleh bertukar menjadi aktif dan menyebabkan penyakit kepada mereka yang immunocompromised.
Sumber: myhealth.gov.my/
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!