Speaker tarik balik penggantungan empat hari MP Pendang

Johari ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri sempena Sidang Dewan Rakyat hari ini. - Bernama
Johari ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri sempena Sidang Dewan Rakyat hari ini. - Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul menarik balik perintah melarang Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) daripada memasuki dewan persidangan selama empat hari, selepas kira-kira satu jam memutuskan keputusan itu.

Tindakan tersebut dibuat selepas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin memohon kelonggaran supaya keputusan itu ditarik balik jika Awang memohon maaf dan menarik balik ucapan beliau.

"Minta Pendang tarik balik, harap speaker boleh bagi kelonggaran. Minta Pendang tarik balik," kata Hamzah.

Rentetan itu, speaker bersetuju menarik balik perintah berkenaan selepas ahli Parlimen Pendang itu memohon maaf.

Terdahulu Awang mendakwa beliau tidak 'faham' mengapa hukuman sedemikian dikenakan terhadapnya.

Menjelaskan perkara tersebut, Johari berkata ia selepas mendapati pemimpin Pas itu seolah-olah mencabar keputusannya.

"Di antara pemimpin pembangkang yang paling saya hormat adalah Pendang (sebagai) kawan, pegawai saya dulu. Tetapi apabila saya suruh Pendang tarik balik, kamu kata 'saya takkan tarik balik'.

"Kamu tidak peduli, kerana mulut santan binasa. Anggaplah saya kawan tetapi bila saya mempengerusikan (Dewan Rakyat) kena hormat itu kawan aku, dia speaker. Kalau tidak hancur dewan ini.

Artikel Berkaitan:

"Kamu tidak boleh macam itu kepada speaker. Mana-mana orang tak boleh terima, sebab itu saya bagi empat hari walaupun (Yang di-Pertuan) Agong kata 14 hari," jelasnya.

Terdahulu, Awang menjadi ahli Parlimen pertama dikenakan hukuman sedemikian susulan lantang membantah keputusan Johari yang membenarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan tahniah kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan ucapan terima kasih kepada Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Sementara itu Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan menjelaskan, walaupun peraturan 14(2) membenarkan perkara berkenaan, penerangan menteri mesti dimasukkan dalam Aturan Urusan Mesyuarat (AUM) hari berkenaan.

"Pada 20 Januari 2022 semasa kerajaan lalu dalam mesyuarat khas, disenaraikan penerangan menteri berkenaan bencana banjir, pengurusan, bantuan bencana dan perancangan jangka panjang banjir.

"Tetapi pada hari ini, dengan penuh hormat kami ahli Parlimen berada dalam keadaan bahawa penerangan menteri tidak disenaraikan dalam tempoh ini dan tidak ada apa-apa tajuk sebenarnya.

"Justeru, saya rasa ini tidak bertepatan dengan aturan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!