Tengku Hassanal ketuai Ekspedisi Mahkota Mudik Sungai Pahang
KUANTAN - Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah perkenan mengetuai Ekspedisi Mahkota Mudik Sungai Pahang 2024 pada 3 hingga 6 Mac depan.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, Fadzli Mohamad Kamal berkata, ekspedisi sepanjang 392 kilometer melalui Sungai Pahang akan bermula di Riverfront, Pekan dan berakhir di Tanjung Gahai, Lipis.
Menurutnya, ia membabitkan enam daerah iaitu Pekan, Maran, Bera, Temerloh, Jerantut dan Lipis.
"Tuanku (Tengku Hassanal) akan menaiki bot kajang dan mengetuai ekspedisi melibatkan 150 peserta dan 18 buah bot dari pelbagai agensi seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang.
"Sepanjang ekspedisi, Tuanku juga berkenan menyantuni rakyat dengan pelbagai acara," katanya ketika mengadakan sidang media di Wisma Sri Pahang di sini pada Selasa.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong itu memberitahu, rakyat juga berpeluang untuk berkhemah bersama Tengku Hassanal di Tapak Rumah Warisan Chenor, Maran dan Kampung Gintong, Jerantut.
"Jadi, rakyat yang berminat hendak bersama keluarga dan hendak berkhemah bolehlah mengikuti sesi perkhemahan ini.
"Mereka boleh berdaftar dengan Majlis Sukan Pahang dan PDRM (Polis Diraja Malaysia) di daerah yang terlibat," katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!