MSN tidak kompromi isu salah laku
MAJLIS Sukan Negara (MSN) tidak berkompromi dan melindungi jurulatih, atlet ataupun pegawai yang terbabit isu salah laku dalam program latihan, malah bersedia mengambil tindakan tegas, termasuk penamatan kontrak serta-merta jika didapati bersalah.
MSN menerusi Jawatankuasa Salah Laku Dalam Sukan ketika ini juga sedang menjalankan siasatan dakwaan salah laku seksual seorang jurulatih para renang terhadap atlet di bawah jagaan beliau yang dilaporkan media massa.
“Pegawai Pelindung Sukan yang diberi kuasa di bawah Kod Sukan Selamat juga telah mengambil langkah-langkah perlu untuk melaksanakan siasatan berkenaan.
“Dakwaan salah laku itu diterima MSN pada minggu lalu dan jawatankuasa telah memulakan siasatan dengan segera termasuk menemubual pihak-pihak yang berkaitan.
“Kerjasama penuh juga diberikan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang telah membuka kertas siasatan, termasuk mencari cara tindakan yang mesra dan melindungi privasi atlet terlibat,” kata MSN dalam satu kenyataan pada Selasa.
Dalam pada itu, MSN memohon kerjasama pihak media dan masyarakat supaya tidak mencetus sebarang spekulasi ataupun menyebarkan maklumat tidak tepat bagi menjaga kebajikan atlet selain mengelak daripada persepsi negatif yang mampu menjejaskan proses siasatan.
“Perlu juga ditegaskan MSN tidak pernah menerima laporan ataupun aduan daripada mana-mana atlet para mengenai salah laku seksual oleh jurulatih sebelum aduan terbaharu ini.
“Dakwaan MSN cuba menutup atau tidak mengendahkan laporan pernah dibuat adalah tidak berasas sama sekali. MSN menguatkuasakan semua peraturan Kod Sukan Selamat dan sentiasa berusaha mewujudkan persekitaran selamat kepada semua atlet yang mengikuti program latihan kendalian MSN.
“Langkah-langkah komprehensif menjaga keselamatan dan kebajikan atlet-atlet para di bawah Program MSN turut dititikberatkan, termasuk mewajibkan pegawai pengiring untuk atlet-atlet yang bertanding di pelbagai kejohanan di luar negara bermula tahun lalu,” katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!