Tiga kali beri amaran, warga asing degil tetap hulur RM50

Kumar (kanan) berkata sesuatu kepada ketiga-tiga anggota polis yang menerima sijil penghargaan tersebut sambil diperhatikan Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora.
Kumar (kanan) berkata sesuatu kepada ketiga-tiga anggota polis yang menerima sijil penghargaan tersebut sambil diperhatikan Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora.
A
A
A

JOHOR BAHRU - “Kami dah berikan amaran tiga kali, namun mereka tetap berdegil nak berikan RM50, jadi kami buat keputusan tangkap mereka."

Itu reaksi Lans Koperal Muhammad Azihan Wan Abd Rahman, 29, mengenai insiden cubaan diberikan rasuah ketika dia bersama dua lagi rakan setugas melakukan rondaan di sekitar kawasan pentadbiran Balai Polis Tenggara, Kota Tinggi pada 10 Februari lalu.

Muhammad Azihan
Muhammad Azihan

Katanya, ketika melakukan rondaan tersebut, mereka terserempak dengan dua lelaki warga asing menaiki motosikal.

“Ketika ditahan untuk semakan dokumen, kedua-dua lelaki berkenaan yang mengakui warganegara Nepal itu didapati tidak membawa dokumen yang diminta.

“Ketika saya keluarkan surat saman, mereka cuba lakukan provokasi dengan memberikan wang tunai berjumlah RM50.

“Saya berikan tiga kali tetapi mereka cuba juga bagi duit itu dan akhirnya kami buat keputusan tangkap serta memaklumkan perkara itu kepada pihak SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia), Johor,” katanya ketika ditemui sempena Majlis Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, pada Selasa.

Muhammad Azihan bersama dua lagi anggota Balai Polis Tenggara, Kota Tinggi turut menerima sijil penghargaan secara eksklusif daripada Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar kerana menolak pemberian rasuah ketika menjalankan tugas.

Artikel Berkaitan:

Sikap penuh integriti mereka ketika bertugas turut mendapat pujian daripada Kumar yang turut mengharapkan perkara berkenaan dijadikan contoh serta tauladan kepada anggota serta pegawai polis yang lain.

Bagi Lans Koperal Muhammad Solehim Azizan, 30, tindakan cuba memberikan rasuah kepada anggota polis seperti itu tidak sewajarnya berlaku.

Muhammad Solehim
Muhammad Solehim

Katanya, integriti yang dimiliki oleh seorang anggota polis tidak dapat dibeli dengan berapa juga nilai.

“Warga Nepal itu cuba rasuah kami dengan RM50. Dengan jumlah RM50 atau RM1,000 atau berapa pun jumlahnya, ia tetap tak boleh beli integriti kami.

“Sebagai seorang anggota polis, kalau kami ambil rasuah, bermakna Malaysia akan penuh dengan gejala rasuah serta ‘perasuah’ itu sendiri.

“Jalan terbaik adalah kami tangkap dua warga Nepal itu agar jadi pedoman kepada semua anggota polis supaya saling bekerjasama menangkap mana-mana ‘perasuah’ di negara ini,” katanya.

Sementara itu bagi Konstabel R Romual, 28, tindakan mereka itu adalah susulan teguran Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengenai gejala rasuah dalam kalangan anggota polis berpangkat rendah sebelum ini.

R Romual
R Romual

Katanya, susulan gejala rasuah itu, imej polis boleh dikatakan agak terjejas ketika ini.

“Sekarang ni, imej polis dah terjejas...jadi untuk tingkatkan semula imej polis, kena ingat dengan amanat daripada Ketua Polis Negara supaya tidak ulangi perkara seperti rasuah atau perkara-perkara lain yang boleh jejaskan imej polis.

“Harapan saya, agar bendar ini akan diikuti oleh anggota-anggota polis lain dan semoga imej polis dapat terus dipulihkan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!