Dua hari operasi pembenihan awan di Pulau Pinang
GEORGE TOWN - Operasi pembenihan awan akan dijalankan di kawasan tadahan air (KTA) Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang di Pulau Pinang selama dua hari bermula Selasa.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Ir K Pathmanathan berkata, operasi berkenaan diselaraskan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara dan akan dikendalikan oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Menurutnya, melalui pemberitahuan rasmi daripada Badan Kawal Selia Bekalan Air Pulau Pinang (BKSA), penjadualan dan pelaksanaan operasi pembenihan awan adalah tertakluk kepada keadaan atmosfera dan awan.
"Dalam tempoh 1 hingga 27 Februari, PBAPP hanya merekodkan 45mm hujan di Empangan Air Itam KTA dan 71.5mm hujan di Empangan Teluk Bahang KTA.
"Tahun lepas, operasi pembenihan awan dijalankan berturut-turut pada Mei dan Jun menyumbang kepada sejumlah 30.5mm hujan di kawasan tadahan air Empangan Air Itam. Hujan ini membantu memastikan tiada krisis air di Air Itam pada tahun lalu," katanya menerusi kenyataan di sini, pada Selasa.
Pathmanathan berkata, ketika ini kapasiti efektif Empangan Air Itam adalah rendah manakala kapasiti efektif Empangan Teluk Bahang semakin berkurangan.
Oleh itu, sebarang jumlah hujan akan berguna kerana kami berusaha untuk mempertahankan rizab air mentah empangan ini sehingga musim hujan akan datang.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!