Kerajaan dicadang pinda Akta 711 perkasa usaha banteras rasuah

Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711) dicadang dipinda dalam usaha membanteras rasuah di negara ini.
Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711) dicadang dipinda dalam usaha membanteras rasuah di negara ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711) dicadang dipinda dalam usaha membanteras rasuah di negara ini.

Azli Yusof (PH-Shah Alam) berkata, pindaan terhadap akta tersebut perlu menjadi fokus dan keutamaan kerajaan selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang mahu kerajaan meningkatkan kecekapan dan prinsip kerja berintegriti.

"Pindaan tertentu harus menjadi fokus dan keutamaan pada waktu ini kerana kelemahan yang terkandung di dalam akta ini membantutkan usaha membanteras rasuah di negara ini,” katanya ketika mencadangkan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau antaranya mencadangkan pindaan bagi membolehkan satu mekanisme kawalan terhadap isu integriti dan sebarang ketirisan yang merugikan negara boleh disekat di peringkat lebih awal.

Selain itu, beliau berkata, pemberi maklumat berperanan menjamin pentadbiran negara yang lebih berakauntabiliti melalui maklumat diberikan demi memelihara kepentingan awam.

Dalam pada itu, Rodiyah Sapiee (GPS-Batang Sadong) membangkitkan isu pemerkasaan wanita di peringkat struktur organisasi dan berpandangan kerajaan tidak boleh mengambil enteng terhadap isu tersebut.

"Pada suku kedua 2023, kadar penyertaan tenaga buruh wanita berada pada paras 56.2 peratus yakni rendah berbanding dengan kadar penyertaan tenaga buruh lelaki sebanyak 82.8 peratus. Ini menunjukkan ketidakseimbangan gender dalam tenaga kerja di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, Laporan Bank Dunia juga menyatakan wanita yang berkerjaya terperangkap dalam sindrom beban berganda dengan selain bekerja, mereka turut menguruskan tugasan domestik seperti menjaga anak dan orang tua.

Artikel Berkaitan:

Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) pula berkata, ahli Dewan Rakyat bertanggungjawab memastikan keluh-kesah rakyat berkaitan peningkatan harga barang dan kelangsungan hidup ditangani.

Beliau berkata, sebagai pembuat dasar, ahli Parlimen juga perlu turun padang berjumpa masyarakat untuk menerangkan keadaan semasa ekonomi negara secara jujur dan mudah difahami.

Sementara itu, Ketua pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) meminta kerajaan memberikan keutamaan kepada graduan tempatan untuk melibatkan diri dalam sektor berteknologi tinggi.

Persidangan Dewan Rakyat bersambung esok. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!