Gadis menunggang aksi ala Superman ditahan
MARAN - Seorang gadis yang menunggang motosikal dengan aksi ala Superman dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam atas kesalahan menunggang secara melulu dan berbahaya mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Video yang memaparkan gadis berusia 17 tahun itu menunggang motosikal itu tular di Facebook dan dia ditahan selepas hadir menyerah diri di Balai Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Maran, 3 Januari lalu.
Ketua Polis Maran, Deputi Superintendan Norzamri Abdul Rahman berkata, gadis itu hadir ditemani bapa saudara yang juga pemilik motosikal sebelum dia ditahan untuk siasatan lanjut.
"Penahanan gadis itu susulan video aksi tunggangan beraninya berdurasi 1:06 saat yang ditularkan seorang pengguna Facebook sebelum ini.
"Polis menubuhkan satu pasukan siasatan bagi mengenal pasti pelaku yang terlibat dan siasatan berjaya mengenal pasti pemilik motosikal dan penunggang terbabit," katanya.
Menurutnya, ketika soal siasat gadis itu mengaku melakukan aksi itu dengan menunggang motosikal jenis Yamaha 15ZR di Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) dalam kawasan daerah Maran kira-kira jam 3.20 petang 1 Januari lalu.
"Dia juga didapati tidak mempunyai lesen dan saman dikeluarkan atas kesalahan tersebut," katanya.
Norzamri berkata, gadis berkenaan yang masih di bawah umur mengaku bersalah ketika dituduh di mahkamah tetapi dibebaskan dengan jaminan mahkamah sebanyak RM1,000.
"Mahkamah menetapkan 26 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula untuk laporan akhlak dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)," katanya.
Sementara itu, pemilik motosikal dikenakan tindakan di bawah Seksyen 26(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana membenarkan motosikalnya ditunggang penunggang tanpa lesen.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!