SmartLane mengelirukan, boleh sebabkan orang bergaduh
PENGAKTIFAN laluan SmartLane merupakan inisiatif PLUS Malaysia Berhad (PLUS) untuk mengurangkan kesesakan di lebuh raya ketika perayaan.
Kenderaan dibenarkan bergerak di lorong paling kiri atau lorong kecemasan.
Ketika sambutan Tahun Baharu Cina lalu, PLUS mengaktifkan 14 laluan SmartLane di lokasi-lokasi kritikal, sekali gus mengurangkan sedikit kesesakan.
Merak Jalanan percaya, ramai sebenarnya yang tidak tahu mengenai SmartLane ini.
Malah, baru-baru ini tular di media sosial apabila penunggang motosikal marah pemandu kereta yang menggunakan SmartLane.
Merak Jalanan puji inisiatif PLUS yang berusaha mengurangkan tempoh pemandu tersangkut di lebuh raya di musim perayaan. Nampak mereka mengambil peduli terhadap keselesaan pengguna lebuh raya.
Tapi bagi pendapat Merak Jalanan, SmartLane ini tidaklah smart mana pun. Bukan sahaja mengganggu lorong kecemasan, lebih-lebih lagi waktu puncak, ditambah pula perangai pengguna jalan raya yang mempunyai tabiat suka potong barisan. Serabut dibuatnya!
Sepatutnya perlu diletakkan papan tanda besar mengenai lorong SmartLane ini.
Dalam masa sama, perlu hebahkan secara menyeluruh di media-media termasuk media sosial sebab Merak Jalanan percaya, tidak semua pengguna lebuh raya alert pasal SmartLane ini.
Lagipun, SmartLane ini dibuka ketika musim perayaan di beberapa lokasi sahaja, jadi sudah tentu ramai keliru.
Sehubungan itu, Merak Jalanan amat berharap agar pihak PLUS melihat kembali inisiatif SmartLane ini.
Merak Jalanan tak kata perlu dimansuhkan kerana mungkin ia membantu pengguna lebuh raya, cuma perlu ditambah baik kelemahan yang ada.
Merak Jalanan tak mahulah berlaku insiden cermin sisi kereta patah ditendang mat motor atau bergaduh di tepi lebuh raya sebab tak faham pasal SmartLane ini.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!