Tidak sempat niaga daging, warga Bangladesh antara 13 ditahan
NILAI - Seorang lelaki warga Bangladesh yang baru berniaga daging lembu di sebuah pasar malam di Taman Semarak di sini antara 13 warga asing yang ditahan dalam Operasi Bersepadu Warga Asing pada petang Selasa.
Kesemua mereka ditahan selepas didapati melanggar syarat pas ditetapkan ketika pemeriksaan dijalankan oleh Majlis Bandaraya Seremban (MBS) bersama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sembilan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bermula kira-kira jam 5 petang.
Pengarah Undang-Undang dan Penguatkuasaan MBS, Hanizam Ahmad berkata pihaknya melakukan pemeriksaan di premis perniagaan di Taman Desa Ria, Nilai 3 dan tapak pasar malam Taman Semarak.
"Pemeriksaan di Taman Desa Ria, kami mengesan tiga premis yang menjalankan perniagaan tanpa lesen dan sebuah premis melanggar syarat lesen iaitu tiada kehadiran 30 peratus warga tempatan di premis terbabit.
"Hasil pemeriksaan itu kami mengeluarkan enam kompaun terhadap premis terbabit dan turut mengeluarkan tiga notis sita manakala pihak JIM menahan enam lelaki warga Bangladesh," katanya.
Beliau berkata, pemeriksaan di pasar malam pihaknya menyita sebuah gerai daging lembu yang dikendalikan warga asing selain turut mengeluarkan 22 kompaun terhadap peniaga lain yang dikesan berniaga tanpa lesen.
Menurutnya, pihaknya mengesan beberapa pemilik gerai warga tempatan yang menggajikan warga asing.
"Mereka dikompaun mengikut Seksyen UUK 6(3) Undang-Undang Kecil Penjaja MBS.
"Bagi pihak JIM pula, mereka menahan empat lagi lelaki warga Bangladesh termasuk peniaga daging berkenaan kerana didapati melanggar syarat pas ditetapkan," katanya.
Hanizam berkata, pihak JKM menahan seorang wanita warga Syria bersama dua anaknya yang berusia bawah 10 tahun kerana mengemis.
"Secara keseluruhan 13 warga asing ditahan berusia antara 10 hingga 40 tahun," katanya.
Mengulas mengenai kegiatan mengemis dalam kalangan warga asing di daerah itu, beliau berkata, setakat ini situasi masih terkawal dan pengemis berkenaan sebenar datang dari negeri jiran.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!