Raja Norway, Raja Harald V kini dirawat di hospital di Langkawi
KUALA LUMPUR - Raja Norway Raja Harald V dikejarkan ke Hospital Sultanah Maliha Pulau Langkawi, kata jurucakap Keluarga Diraja Norway pada Selasa.
Memetik Reuters, Raja berusia 87 tahun itu dilaporkan mengalami jangkitan.
Difahamkan ia berkaitan masalah respiratori serta jantung dan Astro AWANI masih mendapatkan pengesahan rasmi berkaitan perkembangan ini.
Baginda ketika itu dalam lawatan peribadi ke beberapa negara di Asia Tenggara.
"Baginda jatuh sakit semasa percutiannya di Malaysia, dan dimasukkan ke hospital di sana, susulan jangkitan.
"Baginda mendapat penjagaan yang baik daripada kakitangan perubatan Malaysia dan Norway," kata keluarga diraja itu dalam satu kenyataan.
Raja Harald telah menjadi ketua negara istiadat Norway sejak 1991 dan merupakan raja tertua yang masih hidup di Eropah.
Dia telah berulang kali dimasukkan ke hospital dengan jangkitan dalam beberapa tahun kebelakangan ini, selain telah menjalani pembedahan jantung.
Putera Mahkota Haakon merupakan Pemangku Raja ketika ketiadaan Raja Harald V.
Memetik Associated Press pada 31 Januari lalu yang memetik kenyataan Istana Norway berkata, Raja Harald V sedang bercuti sakit sehingga 2 Februari susulan jangkitan pernafasan.
Pada bulan Disember, baginda dimasukkan ke hospital dengan jangkitan dan dirawat dengan antibiotik intravena.
Baginda yang dilihat menggunakan tongkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini, menjalani pembedahan untuk menggantikan injap jantung pada Oktober 2020 selepas dimasukkan ke hospital akibat kesukaran bernafas.
Tugas Harald V adalah sebagai Ketua Negara Norway bagi majlis dan upacara rasmi negara selain Baginda tidak mempunyai kuasa politik. - Awani
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!