Perang Gaza cetus Islamofobia

Golongan minoriti Islam di India terus terpinggir dan menjadi mangsa penindasan puak nasionalis.
Golongan minoriti Islam di India terus terpinggir dan menjadi mangsa penindasan puak nasionalis.
A
A
A

NEW DELHI - Ucapan kebencian anti-Muslim di India telah meningkat kepada 62 peratus pada separuh kedua 2023 berbanding enam bulan pertama tahun sama ketika gelombang Islamofobia terus melanda negara Asia Selatan tersebut.

Laporan itu dikeluarkan kumpulan penyelidik berpusat di Washington pada Isnin yang menyebut Perang Gaza memainkan penting untuk tempoh tiga bulan terakhir tahun lalu.

India Hate Lab mendokumenkan sebanyak 668 insiden ucapan kebencian menyasarkan Muslim, dengan 255 daripadanya berlaku pada separuh pertama tahun lalu, manakala 413 direkodkan pada enam bulan terakhir 2023.

Menurut data itu, kira-kira 75 peratus atau 498 daripadanya dilaporkan di negeri ditadbir parti pemerintah, Parti Bharatiya Janata (BJP) yang sememangnya terkenal dengan sentimen Islamofobia.

Sentimen Islamofobia terus meningkat di beberapa negara terutamanya Eropah sejak akhir 2023.
Sentimen Islamofobia terus meningkat di beberapa negara terutamanya Eropah sejak akhir 2023.

Negeri ‘panas’ seperti Maharashtra, Uttar Pradesh dan Madhya Pradesh dikatakan menyumbang sebahagian besar insiden ucapan kebencian anti-Muslim.

“Sebanyak 41 kes yang turut menyebut tentang Perang Gaza melibatkan golongan India Muslim dilaporkan antara 7 Oktober dan 31 Disember lalu,” menurut laporan itu lagi.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mentakrifkan ucapan kebencian sebagai bahasa prejudis atau diskriminasi terhadap individu atau kumpulan berdasarkan agama, etnik, kerakyatan, bangsa atau jantina.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini beberapa kumpulan hak asasi manusia telah mendedahkan layanan buruk diberikan pentadbiran Modi yang mengambil alih kepimpinan negara itu pada 2014 terhadap komuniti Muslim.

Modi yang mendapat sokongan kuat puak nasionalis dijangka mengekalkan kuasanya selepas pilihan raya umum dijadualkan pada April ini.

Individu yang menyokong Palestin secara terang-terangan antara yang menjadi sasaran.
Individu yang menyokong Palestin secara terang-terangan antara yang menjadi sasaran.

Aktivis turut merujuk kepada undang-undang kewarganegaraan 2019 yang disifatkan PBB sebagai ‘diskriminasi secara asas’ selepas pemerintah turut membatalkan status khas di wilayah Kashmir yang didiami majoriti penduduk Muslim.

Selain itu, pemerintah juga semakin mempergiatkan kempen perobohan struktur milik orang Islam atas alasan untuk menghapuskan binaan haram dan melarang pemakaian tudung di sekolah di Karnataka ketika BJP mentadbir negeri tersebut.

Pentadbiran Modi menafikan dakwaan penindasan golongan minoriti di New Delhi dan dasar itu kononnya bertujuan memberi manfaat kepada seluruh rakyat.

Maklumat dikumpulkan India Hate Lab berdasarkan aktiviti dalam talian gerakan nasionalis dan video ucapan kebencian dikongsi di media sosial serta insiden terpencil dilaporkan media tempatan bagaimanapun membuktikan perkara tersebut.

Penyokong Palestin jadi sasaran

Di Britain, insiden berkaitan Islamofobia turut dilaporkan meningkat dengan ketara sejak Perang Gaza tercetus hingga menyebabkan komuniti Muslim hidup dalam ketakutan.

Akhbar The Independent pada Ahad mendedahkan sebahagian besar kejadian menyasarkan individu yang menzahirkan solidariti terhadap Palestin yang terus dizalimi rejim Zionis.

“Seorang wanita Islam diserang hanya kerana dia memasang bendera Palestin pada tingkap rumahnya. Dia nyaris menemui maut selepas batu-bata dilemparkan penyerang tidak dikenali,” jelas laporan itu.

Seorang pelajar Muslim berusia 17 tahun juga disoal siasat gurunya selepas dia mempamerkan lencana Palestin pada beg sekolah miliknya.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Unit Tindak Balas Islamofobia (IRU), Majid Iqbal berkata, sebanyak 365 peratus peningkatan kes anti-Muslim dicatatkan sejak Oktober 2023.

“Kami menerima aduan secara berterusan. Ia kini berkembang menjadi trend jangka panjang dan memberi kesan mendalam kepada individu yang menjadi sasaran,” ujarnya sambil menambah, pihak berkenaan tidak sepatutnya mencemarkan aktiviti yang menyokong Palestin selagi ia tidak melanggar undang-undang.

Sementara itu, TellMama yang mengawasi insiden anti-Muslim di negara itu juga mengesahkan sebanyak 2,010 insiden Islamofobia direkodkan antara 7 Oktober dan 7 Februari lalu.

“Angka itu adalah lebih tiga kali ganda berbanding 600 kes yang dilaporkan pada tempoh sama tahun sebelumnya,” tambahnya lagi. - Agensi

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!