FELDA bakal bentang pelan jangka panjang

Sumber kitar semula mampu menampung kekurangan hasil aktiviti utama (minyak sawit).
Sumber kitar semula mampu menampung kekurangan hasil aktiviti utama (minyak sawit).
A
A
A

KUALA LUMPUR - Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) bakal membentangkan pelan rancangan ekonomi kitaran jangka panjang bagi memperkasakan lagi sosioekonomi para peneroka.

Perkara itu dinyatakan Pengerusi FELDA, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang mana pembentangannya akan dilaksanakan sempena Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 (KEB 2024) yang akan bermula pada 29 hingga 2 Mac ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

AHMAD SHABERY
AHMAD SHABERY

Selain meningkatkan keupayaan para peneroka, pelan rancangan yang merangkumi inisiatif strategik itu turut memberi perhatian terhadap usaha mengoptimumkan penggunaan komoditi kelapa sawit di samping menerajui bidang alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) di negara ini.

“Pelan rancangan ini merupakan strategi jangka panjang dalam memastikan peneroka mendapat manfaat daripada hasil kelapa sawit secara optimum tanpa sebarang pembaziran sumber.

“Konsep ekonomi kitaran melibatkan proses guna, pulang dan cipta semula yang mana ia berbeza dengan ekonomi linear iaitu beli, guna dan buang,” katanya kepada Sinar harian pada Selasa.

Sumber semula jadi

Pada masa sama, Ahmad Shabery turut berkongsi pandangan mengenai pola global yang menyaksikan kebanyakan negara-negara dunia telah memberikan perhatian kepada usaha mengoptimumkan sumber alam semula jadi menerusi galakkan penggunaan teknologi hijau bagi mencapai agenda masing-masing melestarikan alam sekitar.

Artikel Berkaitan:

Justeru katanya, FELDA antara lain berhasrat menjadikan proses kitar semula sebagai satu peluang berpotensi tinggi yang menjana nilai ekonomi baharu.

“Setiap sumber kitar semula itu mempunyai hasil dan nilai selain membuka peluang kepada pengilang termasuk peneroka memperoleh manfaat dengan mencipta pelbagai produk daripada hasil sisa kelapa sawit.

“Setiap tandan kelapa sawit di negara ini hanya menghasilkan kadar perahan minyak mentah (OER) sebanyak 23 peratus yang mendatangkan hasil pendapatan kepada peneroka. Manakala 77 peratus lagi adalah sisa yang sering dibuang, sedangkan ia mampu menghasilkan tenaga boleh guna kepada negara,” katanya lagi.

Menurutnya lagi, daripada sumber kitar semula itu juga, ia mampu menampung kekurangan hasil daripada aktiviti utama (minyak sawit) sama ada disebabkan operasi perladangan mahu pun dari situasi pasaran semasa.

FELDA merancang untuk mengoptimumkan penggunaan komoditi kelapa sawit di samping menerajui bidang ESG.
FELDA merancang untuk mengoptimumkan penggunaan komoditi kelapa sawit di samping menerajui bidang ESG.

Potensi karbon kredit

Selain itu, Malaysia turut berkemampuan dari segi sumber dan keupayaan untuk menghasilkan karbon kredit yang boleh dibekalkan untuk pasaran global sebagai sumber tenaga alternatif sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil.

Justeru, idea dan inisiatif tersebut menurut Ahmad Shabery perlu dilontarkan dalam KEB 2024 bagi memastikan satu pemikiran dapat dibentuk dan diperkembangkan lagi untuk pelaksanaan serta pulangan yang lebih baik.

“Perkara ini perlu dilihat kembali dasar kerana kita belum mengenakan lagi cukai karbon. Bahkan kita menggalakkan orang ramai membakar karbon kerana minyak kita bersubsidi,” ulas beliau.

Kebanyakan negara-negara dunia memberikan perhatian terhadap teknologi hijau bagi mencapai agenda melestarikan alam sekitar.
Kebanyakan negara-negara dunia memberikan perhatian terhadap teknologi hijau bagi mencapai agenda melestarikan alam sekitar.

Himpunan terbesar peneroka

Dalam perkembangan lain, Ahmad Shabery memaklumkan FELDA akan mengadakan sambutan Hari Peneroka FELDA 2024 (HPF24) pada 12 hingga 14 Julai 2024 yang dijangka menghimpunkan 500,000 warga tanah rancangan itu dari seluruh negara.

Sambutan yang akan berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang itu katanya bukan sahaja mencipta potensi warga FELDA, tetapi juga berkongsi mengenai produk keluaran mereka termasuk makanan, teknologi dan juga pendidikan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!