Tunggakan gaji KL City: 'Bukan dua bulan, tapi lebih'

Laporan Sukan Sinar pada 25 Februari.
Laporan Sukan Sinar pada 25 Februari.
A
A
A

KEMELUT tunggakan gaji melibatkan para pegawai dan pemain Kuala Lumpur (KL) City FC yang dilaporkan selama dua bulan melibatkan Oktober dan November 2023 sebanyak RM2 juta sebenarnya lebih parah.

Ia susulan terdapat beberapa individu melibatkan jurulatih, pemain tempatan dan import yang masih mempunyai kontrak bersama The City Boys sehingga tahun 2024 dan 2025.

Jika diambil kira dengan baki kontrak tersebut tunggakan gaji mereka antara empat hingga lima bulan bermula Oktober 2023 hingga Februari 2024.

Difahamkan gaji barisan pegawai dan pemain kelab itu dibayar pada setiap tujuh hari bulan dengan anggaran jumlah setiap bulan adalah sebanyak RM1 juta.

Justeru timbul persoalan, pengurusan tertinggi Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) cuba menyembunyikan sesuatu berhubung jumlah sebenar tunggakan gaji pegawai dan pemain mereka.

Presiden KLFA, Khalid Abdul Samad pada Jumaat menegaskan tunggakan gaji pemain KL City adalah sebanyak dua bulan melibatkan jumlah RM2 juta bukan empat bulan seperti didakwa.

Bagaimanapun menurut satu sumber, tunggakan gaji antara empat hingga bulan tersebut dimaklumkan oleh salah seorang daripada mereka yang mendakwa kali terakhir menerima gaji ialah untuk September 2023.

Malah sumber itu menambah, Kelab Penyokong Bolasepak Kuala Lumpur ada berhubung dengan salah seorang daripada mereka untuk mendapatkan gambaran sebenar tentang jumlah tunggakan gaji berkenaan.

Artikel Berkaitan:

“Situasi amat sulit. Saya masih mempunyai kontrak sehingga tahun depan (2025), tapi gaji belum dapat. Sejak Oktober mereka (KLFA) tak bayar, sudah lama tak dapat gaji.

“Saya masih menunggu (pengurusan tertinggi) hubungi saya. Dia tak respon (tentang gaji) sehingga kini (Ahad lepas). Saya mesej dia Disember lepas, tapi tak jawab,” ujar pegawai itu kepada kelab penyokong.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM), Safee Sali mengingatkan pimpinan pasukan lebih sensitif berkongsi fakta terutama mengenai tunggakan gaji agar tidak menimbulkan kekeliruan yang akhirnya menggambarkan sikap sebenar kelemahan pengurusan kelab.

Beliau terkejut dengan kenyataan tidak tepat sebuah pasukan yang mendakwa berdepan tunggakan gaji dua bulan dan bukannya tiga hingga empat bulan.

Malah Safee menegaskan bahawa pihaknya mempunyai fakta dan bukti laporan yang dibuat oleh pemain di mana kenyataan pengurusan terbabit membuatkannya hanya mampu tersenyum.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!